Selepas hujan lebat selama 15 jam Pulau Pinang hari ini dilanda banjir besar dan ini boleh disifatkan sebagai bencana terburuk yang pernah melanda negeri berkenaan. Hampir 80 peratus kawasan di negeri berkenaan telah dinaiki air dan dilaporkan tragedi banjir pada kali ini turut mengorbankan nyawa. Turut dilaporkan sejumlah kenderaan terperangkap di jalan-jalan utama di negeri berkenaan dan ada yang terperangkap selama lebih lima jam sejak dari pukul dua pagi.

Kekecohan yang melanda Pulau Pinang ini merupakan malang yang berterusan sejak tragedi tanah runtuh yang mengorbankan beberapa pekerja di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Bungah. Lebih memeritkan tersebar gambar yang melihatkan berlakunya tanah runtuh di kawasan perumahan di lereng bukit di Batu Feringghi. Ini bukan waktu untuk kita menyalahkan sesiapa, namun ini waktunya untuk kita mengetepikan fahaman politik dan bersatu atas nama kemanusiaan.

Tidak guna kita terus bertelegah dan mencari kesalahan pada waktu ini kerana apa yang penting bantuan segera harus disalurkan kepada rakyat yang memerlukan. Pujian harus diberikan kepada sikap terbuka Kerajaan Persekutuan yang secara berterusan menyalurkan bantuan tanpa henti. Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menghubungi YAB Timbalan Perdana Menteri untuk memohon bantuan juga boleh disifatkan langkah tepat bagi memastikan rakyat segera menerima bantuan.

Sebenarnya di waktu kritikal seperti ini tindakan mencari kesalahan hanya akan memburukkan keadaan. Kesalahan itu boleh dicari dalam waktu yang lain semasa siasatan menyeluruh berkenaan bencana ini dibuat nanti. Sewaktu itu, kita wajar dan boleh mencari apa-apa kesalahan yang wajar berdasarkan bukti dan laporan siasatan. Tambahan pula apa yang berlaku di Pulau Pinang ini bukan sahaja kesan daripada pembangunan, namun diburukkan lagi dengan keadaan cuaca dan ribut yang melanda rantau Asia Tenggara.

Apa yang membanggakan rakyat Malaysia kini bersatu mendoakan kesejahteraan Pulau Pinang dan ada yang sudah turun ke lapangan menghulurkan bantuan yang diperlukan. Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga telah memainkan peranan aktif sejak dari awal lagi. Ini membuktikan semangat anggota keselamatan awam tidak pernah luntur dalam membantu dan menghulurkan bantuan.

YAB Perdana Menteri pula dalam satu kenyataan memaklumkan Kerajaan Persekutuan akan menghulurkan bantuan semaksimum mungkin kepada Pulau Pinang kerana menjadi bidang tugas Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat di mana-mana negeri yang ditimpa bencana. Ini juga satu kelegaan untuk rakyat Pulau Pinang. Di waktu bencana seperti ini kita harus memastikan penyelesaian dicapai dahulu dan bukan masa yang sesuai untuk menyalakan api politik untuk memburuk-burukkan lagi keadaan.

Setiap bantuan yang dihulur ini tidak mengenal lambing politik, tetapi dihulur atas dasar kemanusiaan dan keperluan sesama manusia. Buat orang-orang yang gemar bermain politik dan menggunakan kesempatan bencana untuk meraih sokongan, ini bukan masanya untuk anda. Ini merupakan masa untuk rakyat bersatu dan saling membantu. Sesiapa yang bersalah itu bukan kerja kita di media sosial, tetapi sistem keadilan dan kehakiman di Malaysia ada keupayannya yang tersendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here