BENCANA ribut dan hujan lebat serta banjir yang melanda Pulau Pinang sejak 4 November lalu meninggalkan kesan kemusnahan yang besar di kebanyakan kawasan di negeri itu.

Puluhan pokok tumbang berlaku di beberapa kawasan khususnya di sekitar Relau; Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong dengan ada yang menghempap kenderaan serta menghalang jalan.

Pulau Pinang lumpuh selepas hampir keseluruhan kawasan di negeri itu dilanda banjir setinggi antara tiga hingga 3.6 meter, berikutan hujan lebat serta ribut yang melanda sejak Sabtu lalu.

Sehingga kini, tujuh nyawa telah terkorban akibat bencana yang berlaku itu.

Seramai 3,783 mangsa dipindahkan ke-51 pusat pemindahan oleh pasukan penyelamat.

Akibat bencana yang tidak diduga itu, Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng telah memohon bantuan Kerajaan Pusat khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghulurkan bantuan kecemasan dengan segera kepada penduduk negeri itu.

Guan Eng menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kira-kira pukul 3.30 pagi pada 5 November selepas keadaan banjir semakin buruk.

“Ada kawasan yang airnya naik sehingga melebihi paras bumbung, pusat pemindahan tidak ada elektrik.

“Saya harap penduduk bersabar dan kita akan pastikan bantuan akan sampai dengan segera dan saya juga minta penduduk menjaga keselamatan,” kata Guan Eng.

Persoalannya, adakah bantuan oleh kerajaan Pusat ditadbir Barisan Nasional (BN) itu akan ditafsir sebagai dedak terutama menjelang pilihan raya umum akan datang?

Sudah tentu, tiada siapa boleh menduga bencana itu akan berlaku dan sebagai kerajaan pusat sewajarnya bantuan diberikan kepada rakyat yang ditimpa musibah di Pulau Pinang.

Namun, kita juga tidak dapat menghalang suara-suara sumbang yang pastinya mengkritik usaha kerajaan pusat itu.

Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah pun mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan musibah banjir yang berlaku di Pulau Pinang ketika ini.

Menerusi akaun Twitter beliau, Perdana Menteri menegaskan fokus utama ialah untuk membantu rakyat di negeri itu.

“Semua agensi kerajaan dan jentera parti perlu sama-sama bantu,” kata Najib.

Dalam situasi sekarang, itulah yang perlu dilakukan oleh semua pihak iaitu membantu rakyat yang ditimpa bencana.

Mana yang lebih penting ketika musibah berlaku, nyawa rakyat atau masa depan politik?

Jika diimbas kembali, pada 16 September lalu, rakyat Pulau Pinang sengsara apabila hujan lebat mengakibatkan lebih 100 kawasan dinaiki air. Lebih 1,000 penduduk terjejas selepas banjir kilat melanda kawasan pinggir bandar ekoran hujan lebat.

Meskipun tiada kemalangan jiwa, namun bencana itu yang sebelum ini kerap berlaku menjejaskan penduduk.

Kekerapan banjir kilat melanda negeri itu membawa kerugian besar kepada masyarakat khususnya peniaga selain harta benda rakyat.

Banyak kawasan baharu mengalami banjir kilat terutamanya di kawasan berhampiran lereng bukit.

Adakah DAP Pulau Pinang gagal menyelesaikan isu banjir kilat walaupun sudah dua penggal memerintah negeri itu sehingga menjadi kritikal dan akhirnya menyusahkan rakyat?

Sebelum ini banyak projek pembangunan tidak terkawal mengakibatkan bencana alam sehingga kawasan yang tidak pernah banjir pun dilanda banjir, misalnya di Bayan Baru.

Banyak kali juga diungkitkan berhubung isu pembangunan tidak terkawal namun yang jelas ialah pembangunan lereng bukit diluluskan mengikut kerajaan negeri di samping projek pembangunan mega lain.

Hampir beberapa kawasan di negeri itu menyaksikan paras air naik dari 0.3 sehingga 0.5 meter seperti sekitar Bayan Lepas, Bukit Jambul dan Batu Lanchang sebelum ini.

Hujan lebat selama beberapa jam menyebakan banjir kilat berlaku di Jalan P Ramlee dan beberapa kawasan sekitar Georgetown.

Berikutan hujan lebat yang berpanjangan ia gagal disalirkan kerana kelemahan sistem saliran dan perparitan.

Keputusan drastik harus dibuat sama ada kerajaan negeri harus menghentikan semua projek mega yang sudah diluluskan dan pada masa sama mempercepatkan kerja pembinaan projek tebatan banjir.

Sekiranya ada projek baharu diluluskan nescaya ia akan mengakibatkan lagi musibah seperti tanah runtuh.

Adakah kerajaan DAP Pulau Pinang mahu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu banjir di Pulau Pinang?

Satu cara yang bernas ialah menghentikan kesemua projek pembangunan ini dan menyelesaikan masalah banjir yang semakin meruncing. Antaranya, projek tambakan laut di Persiaran Gurney dan pembinaan pulau buatan di kawasan Teluk Kumbar.

Kerja menaik taraf sistem saliran dan memperluaskan tebatan banjir harus diutamakan serta dipercepatkan.

Kerajaan negeri tidak boleh menafikan bencana banjir kilat turut berpunca daripada sistem pengairan dan saliran yang terjejas ekoran kelulusan projek pembangunan tanpa kawalan.

Banyak projek baharu diluluskan di kawasan yang sudah terlalu padat dengan penduduk sekali gus mengganggu sistem saliran dan pengairan.

Kawasan berisiko seperti cerun bukit juga ditarah menyebabkan air hujan melimpah dengan begitu cepat.

Berhenti menyalahkan kerajaan pusat kononnya tidak meluluskan peruntukan projek tebatan banjir sehingga menyebabkan bencana banjir kilat terus berulang.

Krisis alam sekitar yang berlaku di Pulau Pinang sekarang menyebabkan rakyat terdedah kepada kejadian tanah runtuh dan banjir. Sekarang kesannya sudah dirasai oleh rakyat dan penduduk Pulau Pinang.

Apakah tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang selepas ini?

Apakah berpusing-pusing dengan alasan sementara menanti pulau itu tenggelam bersama penduduknya dalam tragedi banjir seterusnya?

Atau sedar kelemahan pentadbiran yang terlampau rakus dalam pembinaan demi memenuhi nafsu politik dan keuntungan diri pemimpin tertentu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here