Hampir setiap hari kita membaca bagaimana PH begitu bersemangat melaungkan keyakinan untuk menawan beberapa negeri di Malaysia. Keyakinan yang dilontarkan tanpa asas itu dilihat ramai sebagai satu mimpi yang tak mungkin bertukar realiti. Namun pembangkang tetap bertegas tentang kemampuan masing-masing walaupun masih berlaku perebutan kerusi sesama sendiri. Salah sebuah negeri yang sangat diidamkan PH kini ialah Johor yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Malah PH melalui beberapa kenyataan bersedia untuk menumbangkan BN di negeri berkenaan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bertentangan dengan UMNO manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersedia untuk menjadikan Johor sebagai kubur kepada MCA. Melalui semangat ini kita melihat bagaimana PH begitu bersungguh-sungguh. Namun selepas melihat sentimen dan keupayaan pengundi di negeri Johor, kita yakin yang akan terkubur bukanlah BN, tetapi PH itu sendiri.

Pandangan bahawa PH akan mengalami nasib buruk di Johor bukanlah satu kenyataan berbaur propaganda, tetapi ia merupakan sastu fakta berasaskan kepada situasi semasa. PH sebenarnya tidak diterima secara besar di Johor, malah sokongan rakyat terhadap pakatan berkenaan masih kecil dan tidak mampu menggerakkan peralihan undi yang signifikan. Jawapan yang dibentangkan situasi semasa ialah Johor akan terus kekal di bawah BN.

PH seharusnya menerima hakikat bagaimana mereka akan ditolak malah ada kerusi-kerusi yang kini sedang digenggam mungkin akan terlepas. Terbaru beberapa pemimpin utama PH yang diketuai Lim Kit Siang dari DAP cuba untuk menarik sokongan rakyat di Kampung Bakar Batu di Johor Bahru. PH cukup yakin merampas kerusi di Johor Bahru, malah menganggap kerusi berkenaan akan mudah untuk dimenangi nanti. Namun begitu, sesuatu yang tidak disangka berlaku apabila rombongan PH di kampung berkenaan tidak diterima baik.

Beberapa laporan media menyebut lebih 50 penduduk di kampung berkenaan telah menghalau keluar Kit Siang dan rakan-rakan dan penduduk kampung itu jelas bertindak berani untuk tidak membenarkan sebarang dakyah politik songsang disebarkan di kampung berkenaan. Sokongan kuat penduduk kampung itu membuktikan Johor Bahru dan negeri Johor secara keseluruhannya bukanlah tempat yang sesuai untuk PH meluaskan kuasa.

Sokongan terhadap BN masih kukuh dan penolakan jelas penduduk kampung berkenaan jelas merupakan satu isyarat penting yang perlu difahami oleh PH. Angan-angan untuk merampas Johor kini boleh dianggap sedang tercalar kerana rakyat sudah mula bersuara untuk menolak anasir pembangkang daripada mempengaruhi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here