Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mula memantau bagi mendapatkan lima jurulatih baharu bagi memantapkan lagi sistem latihan badan induk itu sebelum Januari tahun depan.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen (gambar) berkata, keputusan itu dibuat bagi mengisi kekosongan yang dialami persatuan itu selepas keputusan beberapa jurulatih kebangsaan yang meninggalkan kem negara sejak beberapa bulan lalu.

“Ia perkara yang normal (jurulatih meninggalkan persatuan) dan kami mencari calon baharu untuk memantapkan semula sistem kejurulatihan, saya juga telah berbincang dengan pengurusan BAM minggu lepas dan mereka bersetuju untuk mencari jurulatih baharu.

“Jadi dalam tempoh beberapa bulan ini kami akan cuba mencari tiga jurulatih untuk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan dua jurulatih untuk perseorangan serta beregu di kem kebangsaan.

“Kami mempunyai senarai nama yang sangat panjang dan semuanya jurulatih tempatan. Ada jurulatih yang saya telah bertemu tetapi masih banyak lagi jurulatih yang saya mahu bertemu dan ia akan mengambil masa yang panjang,” kata Frost.

Keputusan itu dibuat bagi mencari calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan beberapa jurulatih skuad kebangsaan yang meninggalkan BAM antaranya Rashid Sidek dan Rosman Razak yang menyertai Akademi Sports Affairs Mei lalu, manakala Tan Kim Her berhijrah ke Kelab Badminton India bulan ini.

Jurulatih dari China yang pernah melatih Lin Dan ketika remaja, He Guo Quan yang diberikan tugas untuk melatih pemain-pemain pelapis turut membuat keputusan sama Mei lalu.

Frost juga mengakui ada berjumpa dengan jurulatih kepada Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Lee Wan Wah, namun sekadar bertemu dan tiada keputusan yang dibuat kerana bekas pemain itu terikat dengan bekas beregu utama negara tersebut.

“Wan Wah berterima kasih kerana kami menyenaraikan dia tetapi sama ada dia setuju atau tidak masih tiada jawapan.

“Satu tugas rumit untuk mengenal pasti jurulatih baharu kerana saya mahu mencari jurulatih yang tidak terikat dengan mana-mana kelab dan bersedia memberikan komitmen kepada kem negara,” ujarnya

Sumber : Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here