tragedi tahfiz

DUA hari selepas kejadian kebakaran yang meragut 23 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, polis semalam mengesahkan kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat sekumpulan remaja yang tidak berpuas hati setelah berselisih faham dengan beberapa pelajar pusat tahfiz tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata hasil pengecaman wajah seorang remaja melalui rakaman litar tertutup (CCTV) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sebelah pusat tahfiz tersebut, seramai tujuh (7) suspek lelaki berusia antara 11 hingga 18 tahun telah ditahan berhubung insiden itu.

Dalam kejadian yang sangat menggemparkan seluruh negara itu, suspek dikatakan telah membawa dua tong gas dari tingkat bawah ke tingkat tiga bangunan tahfiz tersebut sebelum memulakan kebakaran menggunakan sejenis bahan pembakar.

Insiden Yang Membuka Mata

Kenyataan Amar Singh itu akhirnya menjawab pelbagai persoalan orang ramai mengenai punca kebakaran tersebut. Sebaik insiden itu berlaku Khamis lalu, pelbagai pihak mengeluarkan andaian masing-masing mengenai apa yang telah berlaku.

Baik menteri, mufti mahupun sebahagian orang ramai tidak terkecuali menyalahkan pengabaian aspek keselamatan pusat tahfiz tersebut sebagai punca kepada insiden malang itu. Ini tidaklah menghairankan memandangkan sepanjang tempoh dua tahun yang lalu, statistik yang ada menunjukkan sebanyak lebih 200 pusat pengajian tahfiz dan pondok telah terbakar.

Kebakaran pusat tahfiz ini seolah-olah mengulangi insiden yang meragut nyawa 27 orang pelajar perempuan Pondok Pak Ya di Guar Chempedak, Kedah pada 22 September 1989. Walau bagaimanapun, tragedi yang menimpa 21 orang pelajar tahfiz dan dua (2) guru mereka Khamis lalu sangat berbeza sama sekali memandangkan ianya berlaku atas perbuatan jenayah dan khianat.

Kesedihan Dan Kemarahan Orang Ramai

Ketika seluruh negara bersedih dan meratapi pemergian 23 nyawa yang tidak berdosa ini, pendedahan polis Kuala Lumpur mengenai punca insiden Khamis lalu nyata telah membangkitkan kemarahan orang ramai, apatah lagi ianya dilakukan ke atas sebuah pusat pengajian sehingga membunuh anak-anak yang diasuh menjadi pembela agama.

Lebih mengejutkan adalah kesemua suspek yang ditahan ini masih lagi remaja bawah umur dengan suspek yang paling muda berusia 11 tahun. Tidak sekadar itu, polis juga mengesahkan enam (6) daripada mereka positif dadah dengan dua (2) daripadanya turut memiliki rekod jenayah lampau. Berita ini sememangnya menghiris hati orang ramai yang mengikuti perkembangan kes ini.

Maka kita bertanya apakah musibah yang telah menimpa masyarakat hari ini? Jika sebelum ini jenayah khianat sebegini selalunya dilakukan remaja di umur pertengahan, kini kita melihat dan menyaksikan sendiri bagaimana remaja yang masih lagi berusia belasan tahun sudah berani melakukan perbuatan khianat sehingga meragut nyawa-nyawa yang tidak berdosa hanya kerana perselisihan faham.

Hampir kesemua suspek ini dikatakan berada di bawah pengaruh dadah pada waktu kejadian. Ini sepatutnya menjadi satu fakta dan fenomena yang sangat membimbangkan. Lalu timbul persoalan, bagaimana kesemua suspek yang masih mentah ini boleh terdedah dengan najis dadah dan bagaimana pula bahan terlarang itu begitu mudah diperolehi?

Di mana ibu bapa mereka dan mengapa pula mereka dibiarkan berada di luar rumah dan berkeliaran pada waktu-waktu seperti itu? Insiden yang berlaku Khamis lepas mengingatkan kita kepada kemalangan yang menimpa sekumpulan remaja yang dikatakan berlumba basikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada Februari lalu. Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3.00 pagi itu meragut lapan (8) nyawa yang berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Generasi Apa Yang Kita Lahirkan Hari Ini?

Kesemua suspek yang ditahan dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Khamis lalu merupakan anak-anak orang Melayu yang mempunyai nama-nama Islam. Sungguh malang dan menyedihkan bila memikirkan bagaimana remaja semuda mereka begitu mudah hanyut dan terpengaruh dengan dadah sehinggakan mereka boleh bertindak kejam hanya kerana dendam atas perkara yang kecil.

Menuding jari kepada ibu bapa memang mudah tetapi ia tidak akan membawa kepada penyelesaian yang menyeluruh. Kita harus ingat musibah yang menimpa masyarakat hari ini turut disumbangkan oleh persekitaran dan sistem sosial yang bermasalah. Remaja yang gemar berpeleseran di luar sehingga lewat malam selalunya dikaitkan dengan keluarga yang bermasalah, tempat tinggal yang sempit dan kejiranan yang tidak prihatin.

Kewujudan ketiga-tiga faktor ini membuka ruang kepada remaja-remaja ini untuk bercampur dengan kumpulan-kumpulan yang bermasalah dalam mencari keseronokan di luar yang akhirnya menyebabkan mereka terdedah kepada dadah dan beberapa jenayah lain. Sewajarnya orang ramai di setiap peringkat sedar bahawa setiap daripada mereka mempunyai peranan dan fungsi yang perlu digerakkan.

Mainkan Peranan Kita

Pemimpin masyarakat dan negara misalnya perlu memastikan taraf kehidupan dan kebajikan rakyat di semua peringkat tetap terjaga melalui pembinaan perumahan dan kawasan kejiranan yang lebih baik dan kondusif. Selain itu, usaha juga perlu terus digiatkan bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terhimpit dengan kos sara hidup yang boleh membuka jalan kepada perlakuan jenayah dalam kalangan remaja khususnya.

Guru, jiran, pemimpin setempat seperti ketua kampung, imam dan sebagainya turut tidak terkecuali. Mereka seharusnya lebih prihatin terhadap perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka. Usaha untuk mengenal pasti remaja bermasalah perlu diperkasakan dan tindakan memperbaiki lompong-lompong yang ada harus dilakukan dengan berhikmah dan bijaksana. Maki hamun dan memulaukan remaja-remaja sebegini tidak akan membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya dekati dan santunilah mereka dengan apa sahaja bentuk nasihat dan bantuan yang mampu kita berikan.

Akhirnya, ibu bapa merupakan insan terpenting dan mempunyai pengaruh yang paling besar dalam pembentukan akhlak anak-anak. Mengambil konsep pendidikan bermula dari rumah, ibu bapa yang bertanggungjawab tidak akan menyerahkan tugasan mendidik dan mengasuh anak-anak secara bulat-bulat kepada guru di sekolah. Sebaliknya ibu bapa yang cemerlang pasti sahaja akan memastikan pendidikan agama khususnya terus diterapkan di rumah melalui teladan yang ditunjukkan selain sentiasa mengambil tahu pergerakan anak dari semasa ke semasa.

Kegagalan kita untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan ini pastinya akan terus memberi ruang kepada penglibatan remaja dalam kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral dan menjadi barah dalam masyarakat. Akibatnya, tragedi seperti yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah itu mungkin sahaja boleh berulang pada masa hadapan lantaran keengganan kita untuk belajar daripada pengalaman dan kesilapan. Ketika itu, kita tiada siapa lagi untuk dipersalahkan melainkan diri kita sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here