Monday, June 18, 2018
Home News Biz #Bajet2016 Berjaya Tarik Pelbagai Cadangan

#Bajet2016 Berjaya Tarik Pelbagai Cadangan

0
522


KUALA LUMPUR 2 Sept. – Pelbagai cadangan terutama berkaitan kos sara hidup dan pendidikan diutarakan oleh masyarakat menerusi laman #Bajet2016 yang dilancarkan semalam sempena pembentangan Bajet 2016 Oktober ini.

Antara cadangan popular dan mendapat sokongan tertinggi daripada peserta laman web tersebut adalah mengenai usaha untuk meneruskan bantuan pendidikan ke peringkat sarjana dan kedoktoran menerusi skim di bawah MyBrain15.

Salah seorang yang memberikan cadangan berhubung isu tersebut menggunakan nama Siti Nur Adila berkata, program MyBrain15 perlu dilanjutkan untuk membantu serta menggalakkan graduan Malaysia melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi.

“Skim di bawah MyBrain15, iaitu Program Tajaan bagi Ijazah Kedoktoran Dalam Negara (MyPhD) dan Program Tajaan bagi Ijazah Sarjana Dalam Negara (MyMaster) perlu diteruskan untuk menggalakkan graduan negara melanjutkan pengajian dan mengharumkan nama Malaysia selepas tamat pengajian.

“Perlu utamakan juga belia dalam Bajet 2016 kerana belia mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya dan majukan ekonomi negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat bersama-sama mengemukakan cadangan untuk dimasukkan dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

Najib berkata, sememangnya hasrat kerajaan untuk menjadikan suara rakyat sebagai asas pembentukan belanjawan negara dan cadangan boleh dikemukakan di laman mikro #Bajet2016 atau menerusi laman http://najibrazak.com/bajet2016.

Selain itu terdapat juga cadangan mengenai pemilikan rumah daripada Zarina Abdullah yang meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mengubah had umur pinjaman membeli rumah pertama daripada umur 35 tahun kepada 45 tahun.

“Mohon mempertimbangkan untuk mengubah had umur pinjaman membeli rumah pertama kerana masih ramai rakyat Malaysia belum memiliki rumah pada umur 40-an oleh kerana kos sara hidup yang tinggi serta tidak berkemampuan menyediakan tunai 10 peratus sebagai deposit membeli sesebuah rumah,” katanya.

Rock Lee pula meminta supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk barangan makanan diproses dimansuhkan.

“Hapuskan GST untuk semua jenis barang makanan dalam tin dan telah diproses contohnya seperti sardin, mi segera, susu tepung dan coklat,” katanya.

Seorang lagi pengguna laman itu, Amirul Hakim Ismail mengemukakan cadangan supaya penggunaan Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diperluaskan penggunaannya.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here