Seperti biasa beberapa hari sebelum Kerajaan membentangkan bajet, gabungan parti pembangkang juga akan merangka dan mengumumkan bajet sendiri. Namun, perancangan bajet yang dikemukakan oleh pembangkang hanya berasaskan kepada jangkaan pendapatan serta perbelanjaan dan boleh jadi tersasar daripada keadaan yang lebih realistik. Namun itu tidak menjadi satu masalah kerana sememangnya salah satu peranan pembangkang ialah memainkan peranan semak dan imbang secara efektif.

Hari ini Pakatan Harapan (PH) mengemukakan cadangan bajet mereka dan ini menjadi sebahagian daripada hal yang menarik untuk dibincangkan sebelum Kerajaan membentangkan bajet pada Jumaat ini. Selalu kita dengar khasnya dari penyokong Kerajaan bahawa bajet yang dibentangkan oleh pembangkang hanya berteraskan dasar populis dan tidak membantu negara dalam mengatasi sebarang masalah ekonomi dihadapi. Untuk bajet 2018, PH telah menyenaraikan 10 isi penting bajet mereka kali ini.

Pertama sudah tentu PH menetapkan untuk memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dianggap sebagai membebankan rakyat. Kedua ialah soal pendidikan percuma dengan cuba menghulurkan bantuan kepada penghutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Ketiga melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 di seluruh negara. Keempat menyediakan skim skim sewa beli rumah mampu milik segenap rakyat yang belum memiliki rumah. Kelima sasaran penjimatan RM20 bilion wang negara melalui dasar penghapusan rasuah. Keenam menghapuskan campur tangan politik dalam FELDA, Ketujuh menghapuskan tol dan membeli semula konsesi tol berkenaan. Kelapan menaikkan peratusan royalti minyak kepada Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak ke paras 20 peratus. Kesembilan memperuntuk cuti bersalin 120 hari kepada golongan wanita dan menetapkan gaji pekerja wanita pada paras sama dengan lelaki. Kesepuluh menetapkan dana RM75 bilion buat penduduk Sabah dan Sarawak.

Bunyi setiap daripada 10 perkara berkenaan begitu molek dan menyenangkan hati. Namun persoalan terbesar yang harus dibincangkan kini ialah bagaimana PH (jika berjaya membentuk Kerajaan) boleh mendapatkan wang untuk memastikan 10 perkara berkenaan diselesaikan sepanjang tahun 2018? Ini satu hal terpenting yang harus dijelaskan. Setiap daripada 10 perkara yang menjadi keutamaan dalam bajet berkenaan memerlukan perancangan dan peruntukan yang sebenar bukan peruntukan atas angin tanpa apa-apa jaminan.

Satu perkara yang dilihat agak realistik untuk diambil kira dalam bajet PH ini ialah pemberian cuti bersalin 120 hari kepada golongan wanita. Ini kerana hal ini tidak melibatkan peruntukan kewangan tinggi. Selain itu, penetapan gaji minima RM1,500 juga satu hal penting yang harus dilihat kerana persetujuan daripada persatuan majikan dari setiap sektor harus diambil kira dan bagaimana pula kesan harga barang selepas pengenalan gaji minima pada paras ini. Tiada sebarang kesalahan untuk gaji minima ditetapkan sehingga RM1,500, namun seperti disebut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini adakah peningkatan gaji akan menjamin peningkatan kuasa beli?

Kesan terbesar kepada pendapatan kerajaan ialah melalui cadangan penghapusan cukai GST dan melalui cadangan ini, Kerajaan akan mengalami kekurangan hasil sekitar RM25 bilion dan bagaimanakah jumlah ini akan ditampung. Tanpa ada sebarang perkiraan dari sudut ekonomi makro, PH dengan mudah membuat andaian kekurangan ini dapat ditampung melalui penghapusan rasuah. Penghapusan rasuah bukan dapat mengumpul wang dengan mudah dalam satu-satu masa dan adakah penghapusan rasuah dapat dilaksanakan dengan mudah seperti didakwa atau memerlukan penelitian yang mengambil masa?

Penghapusan tol juga merupakan satu janji lunak terbaik kepada rakyat dan persoalan mudah dari mana Kerajaan akan memperoleh wang untuk membeli semua konsesi berkenaan? Sebenarnya bajet yang dibawa PH ini memberi gambaran tidak sihat terhadap ekonomi negara kerana secara tidak langsung telah meminimumkan penglibatan pihak swasta dalam aktiviti ekonomi dan negara atau Kerajaan itu dilihat lebih mendominasi keadaan. Segala-gala kelihatan seperti mahu dimilik negarakan dan ini secara tidak langsung bakal menambah beban kewangan jangka panjang kepada Kerajaan.

PH bercakap tentang model pendidikan percuma dan sudah tentu acuan mereka ialah apa yang berlaku di Eropah, khasnya seperti di negara-negara Scandinavia. Namun, tahukah rakyat bahawa cukai pendapatan di negara-negara berkenaan mencecah sehingga 40 peratus. Ternyata PH hanya membentangkan tentang apa yang sedap didengar sahaja, tetapi tiada sebarang perancangan teliti didedahkan bagaimana sumber-sumber untuk melaksanakan bajet ini akan diperoleh.

Jelas sekali kebanyakan intipati bajet 2018 pembangkang ini hanya satu bajet ilusi yang tidak berteraskan kepada fakta dan angka sebenar. Ia hanya satu bentuk andaian berdasarkan kepada laporan-laporan semasa. Amat mudah untuk menjanjikan hal-hal ini, namun pelaksanaan setiap hal-hal popular ini bakal memakan diri dan menjejaskan pendapatan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here