Majlis Profesor negara (MPN) mahu kerajaan mengkaji semula struktur cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam sektor pendidikan, kesihatan dan sukan menjelang perbentangan Bajet 2018.

Setiausaha Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN, Prof Dr Asan Ali Golam Hassan berkata, ketiga-tiga sektor ini berada di bawah kategori sifar GST dicadangkan agar ia dikecualikan daripada cukai tersebut.

“Selain daripada tiga sektor ini, MPN juga mencadangkan agar kerajaan dapat mengurangkan kadar GST terhadap cukai korporat dan pendapatan. Pada awal pengenalan GST, kedua cukai ini telah dikurangkan antara satu hingga tiga peratus.

“Bagaimanapun menjelang perbentangan Bajet 2018 nanti, tidak mustahil jika cukai korporat dan pendapatan boleh dikurangkan lagi,” katanya pada sidang media isu sosio ekonomi utama untuk dipertimbangkan Kerajaan dalam Bajet 2018, hari ini.

Sementara itu, tambah Asan, agak mustahil kerajaan akan mengurangkan kadar GST 6 peratus, sebaliknya apa yang boleh dicadangkan adalah cukai dikurangkan bagi sektor atau barangan tertentu.

“Sebagai contoh sektor pendidikan, kesihatan dan sukan. Kerajaan boleh memperkenalkan kadar cukai baharu yang lebih rendah iaitu empat atau lima peratus supaya tidak berlaku kenaikan harga pada peringkat akhir,” katanya.

Selain daripada itu, MPN turut mencadangkan agar Kerajaan memperbanyakkan lagi barangan yang boleh diberikan pengecualian GST.

Kerajaan juga perlu memberi maklumat jelas kepada rakyat  mengenai hasil kutipan dan perbelanjaan GST perlu dikongsi kepada umum bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada Kerajaan.

Sementara itu bagi sistem percukaian negara, Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN, Datuk Dr. Mohamed Mustafa Mohd Hanefah mencadangkan pematuhan GST dipertingkatkan agar pendapatan negara turut bertambah.

“Kerajaan boleh memikirkan untuk mengenakan GST terhadap sektor ekonomi digital yang dapat memberikan hasil pendapatan kepada negara.

“Ketiga, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal yang dikenakan terhadap saham, bon, waran dan sebagainya,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here