APABILA bercakap mengenai Bajet 2018, rakyat yang menyaksikannya pasti mengingati rangkap pantun yang dibacakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pantun itu ditulis Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw dalam laman Facebook dan Twitter.

Ia seolah-olah melahirkan kekecewaannya berikutan tra­gedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang me­ngorbankan 11 nyawa.

Berikut merupakan petikan ucapan Perdana Menteri pada Bajet 2018 ketika menyentuh mengenai aspek Pembangunan Lestari.

*Walau semaju mana kita mengejar arus kemodenan negara, kita tetap wajib memelihara kelestarian alam sekitar, sebagai khazanah warisan tanah air anak cucu kita.

*Berkait ini, kita terkejut dengan tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Sabtu lepas, yang telah menimbus lebih
20 mangsa, dan 11 daripadanya disahkan meninggal dunia. Dengan tidak disangka-sangka, terbitnya serangkap keluhan, bagi meratapi peristiwa ngeri itu.

*Yang terlebih syahdu, kerana ia dinukilkan sendiri oleh Ahli Parlimen DAP yang kita segani dari sebelah sana, Yang Berhormat Kepong,
bertajuk, ‘Tanah Runtuh di Lereng Bukit’ di ruangan Twitternya, yang berbunyi;

Ibu jaga anak kan sakit,
Darah tubuh beban kesihatan,
Pemaju bina leretan bukit,
Tanah runtuh korban insan.

*Sebetulnya apa kias yang YB Kepong ingin sampaikan, hanya Tuhan sahaja yang tahu …

Persoalannya, kepada siapa pantun itu mahu dituju Seng Giaw?

Orang yang paling perlu membuka mata dengan nukilan ratapan Seng Giaw ini tidak lain tidak bukan adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri.

Dalam kejadian di Tanjung Bungah itu, 11 pekerja mati tertimbus, yang mencetuskan bantahan pelbagai pihak terutama penduduk semua kaum dan persatuan alam sekitar.

Isu ancaman alam sekitar terutama kerakusan pembangunan di bukit yang telah lama disuarakan tetapi tidak diendahkan kerana kedegilan kerajaan negeri.

Malah, arahan dan peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut diingkari, yang boleh disifatkan jenayah alam sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP seperti Teh Yee Chiu dan ahli parti turut mengkritik Guan Eng dalam isu berkenaan.

Adakah Guan Eng perlu ditunjuk ajar bagaimana mentadbir negeri sebelum mereka dilanda mudarat lebih besar?

Sebelum ini, Seng Giaw pernah mengkritik keada­­an alam sekitar di Pulau Pinang.

Veteran DAP itu mendakwa tahap kehijauan di kawasan Balik Pulau terutamanya kian terhakis akibat tiada usaha memulihara kawasan berkenaan.

Teguran kritikal Seng Giaw memberi gambaran jelas bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang telah gagal memberikan ke­utamaan dalam soal pembangunan sehingga merosakkan alam sekitar serta bukit tanpa berpegang kepada garis panduan pembangunan sedia ada.

Walau bagaimanapun, Guan Eng seperti memperlekehkan teguran ikhlas ahli ve­teran DAP itu.

Guan Eng memberikan reaksi bahawa pihaknya gagal menghubungi Seng Giaw sejak awal tahun lagi dan tiada komunikasi antara kedua-dua pihak apabila memberi pandangan melalui laman sosial sahaja.

Seng Giaw pula mene­gaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah untuk dihubungi pada bila-bila masa sekali gus menafikan dakwaan Guan Eng kononnya beliau sukar dihubungi.

Sudah tentu pantun itu juga bukan suka-suka dinukilkan oleh Seng Giaw.

Tambah mendapat perhatian apabila pantun itu dipetik Najib ketika membentangkan Bajet 2018.

Pelbagai reaksi dapat dilihat di Dewan Rakyat setelah Perdana Menteri membaca nukilan Seng Giaw itu.

Sudah tentu rakyat yang menonton pembentangan Bajet 2018 memberikan pelbagai reaksi.

Ia pastinya bukan saja-saja dibaca Najib dan dinukilkan Seng Giaw tetapi bagi menggambarkan betapa pentingnya pematuhan aspek pembangunan lestari.

Alangkah baiknya jika Guan Eng mempunyai kehalusan jiwa, budi pekerti tinggi dan kematangan sebagaimana Seng Giaw.

Bukannya keangkuhan yang semakin hari semakin membangkitkan kebimbangan rakyat Pulau Pinang terhadap pembangunan gelojoh pimpinan DAP di negeri itu sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here