PUTRAJAYA – Kerajaan prihatin terhadap perkhidmatan awam dan akan menyediakan Bajet 2018 yang terbaik untuk golongan penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Untuk penjawat awam, saya rasa kerajaan akan prihatin terhadap penjawat awam yang sentiasa menjalankan tugas dengan baik serta melaksanakan segala dasar-dasar kerajaan. Sama-sama kita tunggu pengumuman Jumaat ini,” katanya ketika ditanya mengenai jangkaan beliau pada Bajet 2018.

Ali ditemui pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada 126 orang anak anggota Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) daripada seluruh negara di Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat Jumaat ini.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15  (MAPPA XV) pada 3 Oktober lepas, perdana menteri berkata beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018.

Ditanya mengenai pencapaian penjawat awam, Ali berkata beliau amat berpuas hati dengan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semua ketua ketiausaha, ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua perkhidmatan dalam perkhidmatan awam sepanjang tahun.

“Saya dapati semua tercapai dan secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan prestasi mereka. Kita selalu menilai prestasi penjawat awam khususnya peringkat pengurusan tertinggi ini dari semasa ke semasa bagi memastikan segala hasrat dan tanggungjawab dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian KPI itu menunjukkan trend meningkat setiap tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here