Bajet 2018

BAJET 2018 akan dibentangkan pada 27 Oktober ini. Semua lapisan rakyat dalam negara ini, sudah tentu ternanti-nantikan pembentangan tersebut yang bakal dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum dibentangkan, orang ramai boleh memberi cadangan di bawah 14 kategori melalui laman web khas https://bajet2018.najibrazak.com.

14 kategori itu meliputi ekonomi digital, kos sara hidup, perumahan dan kehidupan bandar, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan desa, alam sekitar dan pertanian, belia dan sukan, budaya dan pelancongan serta keselamatan awam dan ketelusan.

Diharapkan, melalui inisiatif ini, lebih ramai anak Malaysia mengambil peluang untuk menjadi lebih proaktif dalam memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada negara.

Adakah anda sudah mengemukakan cadangan anda mengenai Bajet 2018?

Tidak salah mengkritik kerajaan, tetapi apabila kerajaan meminta cadangan mengenai Bajet 2018, berikan cadangan.

Ini tentunya menunjukkan dasar keterbukaan kerajaan dalam mentadbir negara, mengutamakan pendekatan ‘bottom-up’ berbanding ‘top-down’ selain mendemokrasikan bajet tahunan negara.

Kini, penyediaan bajet tahunan negara tidak terhad kepada cadangan pegawai-pegawai kerajaan dan pihak pentadbir sahaja malah semua rakyat Malaysia turut diberikan peluang untuk bersama-sama mencatur masa depan negara.

Kemukakan cadangan untuk sama-sama kita membentuk masa depan negara.

Untuk Bajet 2018, sudah pasti pelbagai isu akan cuba diberi perhatian oleh kerajaan dalam merangka proses perbelanjaan negara ini terutamanya yang melibat kos sara hidup, hutang isi rumah, pendidikan, infrastruktur dan pe­ngangkutan awam serta lain-lain.

Walau apa pun perangkaan bajet yang bakal diumumkan, pihak kerajaan harus memberi keuta­maan terhadap beberapa isu po­kok yang menjadi buah mulut rak­yat pada ketika ini.

Antara isu yang menjadi topik hangat dan tidak sudah-sudah diperkatakan oleh semua pihak adalah isu kos sara hidup. Isu ini sepatutnya menjadi agenda utama yang perlu ditangani segera oleh kerajaan dan sudah tentu tidak boleh diketepikan dalam merangka Bajet 2018.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa dan ada yang tidak mengalami kenaikan gaji tahunan langsung atau kenaikan yang terlalu sedikit terutamanya dalam sektor swasta, ini sudah pasti mem­bebankan. Sedangkan, harga-harga barangan keperluan dan makanan terus meningkat. Ini termasuklah beberapa perkhidmatan awam.

Jika melihat kepada Bajet 2017, bajet itu bertemakan ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’.

Bajet 2017 memperuntukkan RM260.8 bilion, peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.

Peruntukan sebanyak RM214.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan

Selain itu, RM77.4 bilion untuk emolumen serta RM32 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan

Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi RM25.9 bilion, diikuti sektor sosial RM12.2 bilion, keselamatan RM5.3 bilion, pentadbiran RM2.5 bilion.

Antara projek dan program kesejahteraan rakyat yang diberi keutamaan adalah memasang lampu jalan, membina dan menaik taraf jalan kampung, menyelenggara jalan negeri, membina dan membaik pulih rumah usang serta daif selain meningkatkan bekalan air bersih dengan melibatkan peruntukan lebih RM7 bilion.

Turut dilaksanakan, Projek Mesra Rakyat dengan peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf dan membina surau, titi, parit, balai raya, pasar dan gerai kecil serta 69 projek tebatan banjir dengan peruntukan RM695 juta.

Peningkatan kadar insentif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200, RM900 dan RM450 dengan peruntukan keseluruhan RM6.8 bilion pasti disambut gembira oleh kira-kira tujuh juta penerima.

Ketika membentangkan Bajet 2017, Najib turut berkongsi maklum balas positif yang diterima daripada seorang penerima BR1M berketurunan India yang datang dan menggenggam erat tangannya dalam satu program dihadiri.

Untuk tahun 2018, secara umumnya ini adalah tahun yang cukup mencabar kepada kerajaan. Pelbagai peristiwa suka duka yang berlaku sepanjang tahun merangkumi aspek ekonomi, sosial dan politik menyebabkan pihak kerajaan terpaksa berfikir di luar kotak dan mengambil pelbagai tindakan kurang popular serta di luar kebiasaan agar dapat meneruskan keyakinan dan kepercayaan rakyat.

Masalah perpaduan kaum yang dilihat terus menjadi duri dalam daging serta isu politik dalaman baik UMNO mahu pun parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain di sam­ping kemunculan parti-parti baharu menjadikan 2017 sebagai antara tahun yang dikira cukup genting bagi survival politik baik kepada BN mahupun negara secara keseluruhannya.

Justeru pembentangan Bajet 2018 pada kali ini dinantikan oleh seluruh lapisan masyarakat bagi melihat sejauh mana komitmen kerajaan dalam melakar inisiatif supaya terus menjamin kesejahte­raan dan dapat mengurangkan beberapa masalah rakyat yang dilihat agak kritikal terutamanya membabitkan peningkatan beban kewangan yang seterusnya akan menentukan kemampuan sama ada pihak kerajaan dapat terus menarik sokongan dan keyakinan rakyat ataupun sebaliknya.

Malah cakap-cakap orang politik bahawa kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal diadakan pada tahun ini juga dilihat bakal mempengaruhi intipati pembentangan bajet kali ini.

Untuk memastikan Bajet 2018 merupakan bajet yang pro rakyat, kita sebagai rakyat perlu tampil memberikan cadangan supaya bajet kali ini memberikan manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Kerajaan sudah pun menyediakan platformnya, segera ambil peluang dengan idea yang bernas dan konstruktif.

Beritahu kerajaan apa yang anda mahu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here