WANITA antara golongan yang tidak dilupakan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 27 Oktober lalu.

Walaupun wanita tidak pernah dipinggirkan dalam bajet- bajet sebelum ini, namun Bajet 2018 dilihat lebih fokus kepada golongan itu.

Inisiatif dan program berkaitan wanita dalam Bajet 2018 dilihat mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan golongan itu sekali gus memberikan keceriaan kepada mereka.

Beberapa inisiatif langsung dan tidak langsung dilihat mampu memberi manfaat kepada golongan wanita.

Antara inisiatif berkenaan adalah:

*Pelaksanaan 30 peratus wanita dalam keahlian sebagai lembaga pengarah GLC, GLIC dan badan berkanun.

*Peruntukan RM26 juta untuk program latihan keusahawanan.

*Pengecualian cukai bagi wanita yang kembali bekerja.

*Cuti bersalin wanita di sektor swasta ditambah dari 60 hari ke 90.

*Bagi wanita di sektor awam, peningkatan cuti bersalin dari 300 ke 360 hari (maksimum 90 hari setahun).

*Dana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) RM200 juta yang menjadikan jumlah dana sebanyak RM2.7 billion.

Mengenai penglibatan wanita dalam GLC dan badan berkanun, inisiatif ini merupakan antara usaha kerajaan untuk mengangkat wanita menerajui posisi penting dalam organisasi.

Cuti bersalin mandatori dari 60 hari ke 90 hari dilihat memberi keceriaan kepada golongan wanita berkerjaya di sektor swasta yang pastinya sudah lama mahu ia dilaksanakan.

Ianya pasti melebarkan lagi senyuman di wajah golongan ibu bekerja.

Inisiatif seperti tambahan dana AIM dianggap sebagai bonus kepada wanita memandangkan rakan AIM sebahagian besarnya terdiri daripada wanita dan ibu tunggal.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 meraikan kejayaan Wan Azizah Wan Salleh, 45 tahun, sebagai usahawan ternakan ayam yang bermula daripada peringkat bawah sebelum menjadi ahli perniagaan berjaya.

Kejayaan wanita itu hasil pinjaman dana modal permulaan sebanyak RM500 daripada AIM.

Wan Azizah yang juga ibu kepada enam cahaya mata berĀ­kata, modal permulaan RM500 daripada AIM pada 1993 itu adalah satu-satunya pinjaman yang dibuat sepanjang 24 tahun terlibat dalam bidang ternakan dan pemprosesan ayam.

Bermula dengan menjual 10 ekor ayam sehari, kini meningkat kepada 900 ke 1,000 ekor ayam dan kesemuanya dipasarkan di sekitar daerah Kampung Banir Belikong, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Tidak terbuktikah AIM dalam membantu rakyat khususnya golongan wanita di negara ini?

Adakah Bajet 2018 memberi khabar ceria kepada wanita bekerjaya yang juga memberi sumbangan besar dalam ekonomi negara?

Pengurangan waktu bekerja kakitangan wanita hamil di GLC, selain pegawai kerajaan yang mengandung lima bulan ke atas diberi pelepasan balik awal sejam, sudah pasti menambah khabar gembira buat golongan tersebut.

Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang diberikan kepada setiap bayi warganegara ini yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 hingga 2022 pula jelas sekali satu inisiatif holistik dalam meningkatkan jumlah populasi dan tenaga kerja pada masa hadapan.

Lebih menarik lagi, dengan mewajibkan semua bangunan pejabat baharu menyediakan pusat jagaan kanak-kanak bermula di Kuala Lumpur akan dapat mengurangkan kebimbangan ibu yang bekerja.

Jelas sekali golongan wanita turut menerima manfaat dan tidak dilupakan oleh kerajaan dalam pembangunan ekonomi negara.

Bajet 2018 bukan sahaja menceriakan wanita malah menyejahterakan keluarga dan masyarakat.

Sehubungan itu, apa lagi isu wanita yang tidak dihargai di dalam Bajet 2018?

Adakah kehendak wanita sudah dipenuhi oleh kerajaan?

Kerajaan tahu, wanita juga antara tunggak kemajuan negara, meminjam iklan sebuah syarikat kecantikan ‘Kerana dirimu begitu berharga’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here