Kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada sidang akhbar bertarikh 7 Disember 2017 yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan bakal memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis telah mengundang pelbagai reaksi negatif masyarakat antarabangsa, terutama sekali dunia Arab dan negara Islam, termasuklah beberapa negara Kesatuan Eropah yang juga merupakan negara-negara Ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Piagam PBB Sebagai Undang-Undang Antarabangsa

Terdapat 193 negara yang merupakan Ahli PBB, termasuk Israel dan AS. Walaubagaimana pun, Palestin adalah bukan negara Ahli PBB kerana tidak mendapat sokongan daripada Majlis Keselamatan PBB. Kesemua Ahli PBB adalah tertakluk kepada 111 Perkara didalam Piagam PBB yang menjadi dasar atau undang-undang asas antarabangsa.

Perkara 24 Piagam PBB memperuntukan tugas atau tanggungjawab utama Majlis Keselamatan untuk menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa bagi pihak negara-negara ahli. Perkara 25 Piagam PBB pula menyatakan bahawa semua negara-negara ahli Pertubuhan bersetuju untuk ‘menerima’ dan ‘memenuhi’ sebarang keputusan yang telah diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Keputusan-keputusan Majlis Keselamatan PBB di buat secara resolusi samada secara sebulat suara oleh kesemua lima belas anggota Majlis Keselamatan, termasuk lima Ahli Tetap iaitu AS, United Kingdom, China, Rusia dan Perancis atau secara majoriti tanpa undi tolak dari mana-mana Ahli Tetap Majlis Keselamatan.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB

 Beberapa resolusi telah diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB berkenaan dengan isu Palestin dan Israel bagi mencari titik tolak persefahaman dan penyelesaian konflik antara kedua-dua negara, antaranya Resolusi 242 (1967), 338 (1973), 446 (1979), 452 (1979), 465 (1980), 476 (1980), 478 (1980), 1397 (2002), 1515 (2003), dan 1850 (2008).

Pada tahun 2016, 14 mesyuarat telah di adakan oleh Majlis Keselamatan bagi membincangkan isu-isu berkenaan situasi di Timur Tengah, termasuk isu Palestin yang membawa kepada Resolusi 2334 yang telah diputuskan secara majoriti oleh Majlis Keselamatan pada 23 Disember 2016.

Antara intipati Resolusi 2334 ialah meminta supaya dihentikan dengan segera pendudukan secara haram oleh pihak Israel ke atas kawasan Palestin, termasuk di Timur Baitulmuqaddis bagi mencari jalan penyelesaian konflik Israel-Palestin. Sewaktu Resolusi tersebut diputuskan, 14 daripada 15 undi dari Ahli-Ahli Majlis Keselamatan telah di perolehi menyokong deraf Resolusi tersebut, termasuk Malaysia sebagai salah satu Ahli Bukan Tetap Majlis Keselamatan pada ketika itu.

AS telah mengambil keputusan untuk tidak mengundi deraf Resolusi tersebut atas sebab layanan yang berbeza oleh PBB ke atas Israel berbanding dengan negara-negara lain. Ini kerana beberapa resolusi oleh Perhimpunan Agung PBB telah di keluarkan secara khusus terhadap Israel, antaranya menyatakan bahawa penubuhan negara Israel sebagai salah satu unsur perkauman dan juga tindakan keganasan ke atas Israel oleh Palestin yang tidak di beri perhatian oleh pihak dunia.

Keputusan Majlis Keselamatan Terpakai keatas AS

Sungguhpun AS telah mengambil keputusan untuk tidak mengundi sewaktu deraf Resolusi 2334 dibuat, namum keputusan Majlis Keselamatan dibawah Resolusi tersebut adalah terpakai keatas AS. Ini kerana Perkara 25 Piagam PBB dengan jelas mengikat AS sebagai salah satu negara Ahli PBB bagi ‘menerima’ dan ‘memenuhi’ sebarang keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Keselamatan. Tambahan pula, AS adalah salah satu Ahli Tetap didalam Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai tanggungjawab utama untuk menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa, khususnya berkenaan dengan konflik antara Israel dan Palestin.

Justeru, keputusan Presiden AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel telah itu bukan sahaja telah menyemarakkan lagi api kemarahan masyarakat dunia terhadap kekejaman yang telah dilakukan oleh tentera Israel keatas rakyat Palestin malah telah menggangu-gugat dan seterusnya mampu menamatkan segala usaha-usaha penyelesaian konflik bagi kedua-dua negara jiran itu.

Fareed Mohd Hassan – Penyelidik undang-undang antarabangsa di School of Law, University of Aberdeen, United Kingdom dan juga Felo Siswazah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here