DALAM satu kenyataan yang barangkali paling tegas pernah dikeluarkan, Pertubuhan Kerjasama Islam (Organization for Islamic Cooperation – OIC) semalam sebulat suara mengisytihar dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin, sekaligus menolak keras pendirian bertentangan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu pemilikan kota suci tersebut. OIC juga pada masa yang sama menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengikut jejak langkahnya dalam mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dengan Baitlmaqdis sebagai ibu negaranya.

Kenyataan pertubuhan 57 negara itu juga antara lain menyatakan komitmen tidak berbelah-bahagi terhadap proses damai yang adil dan menyeluruh yang ditunjangi penyelesaian dua negara Palestin-Israel. Sebagai sebuah aktor dan pemain antarabangsa, OIC turut menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan pendudukan haram dan penjajahan di Palestin selain mengisytiharkan pentadbiran Donald Trump sebagai bertanggungjawab terhadap semua kesan dan implikasi yang tercetus sejak keputusan tidak berasas yang dibuat mereka minggu lalu.

Terbatalnya Keabsahan AS Sebagai Negara Pendamai

Pengiktirafan AS ke atas Israel berkaitan pemilikan ke atas kota suci Baitulmaqdis nyata merupakan satu perlanggaran jelas terhadap undang-undang dan ketetapan antarabangsa. Kritikan dan kecaman terhadap Trump dalam isu ini bukan sahaja datang daripada Dunia Islam, bahkan daripada entiti negara dan komuniti antarabangsa yang lain juga. Tidak ada satu pun negara di dunia pada hari ini, melainkan Israel, yang menyatakan sokongan mereka kepada tindakan drastik AS itu. Justeru, kita melihat protes di hadapan kedutaan AS di seluruh dunia menjadi topik ataupun tajuk utama pelbagai akhbar atas talian sepanjang minggu ini.

Yang pasti, tatkala AS merasakan tindakannya minggu lalu menjadi satu bukti komitmen negara itu terhadap sekutunya Israel, peranannya sebagai “orang tengah” dalam konflik Palestin-Israel sudahpun terbatal dan tidak lagi diiktiraf, setidak-tidaknya oleh salah satu pihak yang berkenaan – Palestin. Dalam hal ini, AS sendirilah yang melucutkan kelayakan dan peranannya dalam proses itu setelah membuktikan dengan jelas bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun, ia akan tetap berat sebelah terhadap Israel. Malang sekali, ketika masyarakat antarabangsa mengharapkan agar krisis paling panjang ini dibawa ke titik pengakhirannya, ketegangan yang kembali memuncak kini tampak akan meranapkan terus harapan tersebut untuk satu jangka masa yang panjang.

Munafiknya Arab Saudi Dan Boneka AS

OIC adalah pertubuhan antarabangsa kedua terbesar dunia selepas PBB. Walau bagaimanapun, sejak ditubuhkan pada 1969, suara pertubuhan itu dalam isu global dilihat agak ‘tenggelam’ khususnya dalam isu-isu yang berlaku di luar rantau Timur Tengah. Tindakan beberapa negara Arab yang nampaknya lebih gemar bercakaran sesama sendiri, sehinggalah ke hari ini, sedikit sebanyak ‘menyumbang’ kepada situasi malang tersebut. Tidak mengejutkan jika disebut pada hari ini bahawa memang sudah terdapat beberapa negara Arab yang kelihatannya telah ‘sah’ menjadi boneka AS.

Ketika sebahagian negara lain diwakili oleh ketua kerajaan masing-masing pada Mesyuarat Luar Biasa OIC di Istanbul semalam termasuklah YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib yang mewakili Malaysia, tindakan Arab Saudi dan beberapa ketua negara Islam lain yang hanya menghantar wakil mereka ke persidangan itu begitu mengecewakan, sekaligus memperlihatkan betapa negara-negara ini tidak pernah memandang isu Palestin sebagai keutamaan. Malah ramai penduduk Palestin percaya bahawa langkah Trump dalam mengisytiharkan dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai milik Israel tidak akan terjadi sekiranya tiada “lampu hijau” daripada Arab Saudi. Bukan rahsia lagi bahawa ketika penduduk Palestin tegas berpendirian bahawa Baitulmaqdis merupakan ibu negara mereka, Arab Saudi pula sebaliknya cuba meyakinkan kepimpinan Palestin untuk menerima apa sahaja bentuk pelan damai yang diusahakan AS, walaupun dengan menyerahkan kota suci itu kepada Israel.

Arab Saudi yang menjadi Penjaga Dua Masjid ataupun Kota Suci umat Islam, dan selama ini mendabik dada menjadi benteng terakhir umat Islam nyata sekali gagal memainkan peranan dan menggunakan pengaruhnya dengan baik dalam menyatukan suara Dunia Islam. Lebih parah, negara itu sebaliknya pada hari ini menjadi katalis kepada pelbagai krisis di Timur Tengah. Begitulah juga dengan Mesir di bawah kepimpinan Abdel Fattah Al-Sisi. Walaupun menjadi negara terletaknya institusi pengajian Islam yang paling masyhur iaitu Al-Azhar dan kaya pula dengan sejarah kenabian, tindak-tanduk negara itu yang mesra Israel sangat mendukacitakan.

Erdogan Hero Baru Dunia Islam

Angin perubahan dalam OIC mula dirasakan sejak akhir-akhir ini setelah Turki dibawah kepimpinan Presiden Recep Tayyib Erdogan mengambil alih jawatan pengerusi persidangan dalam isu-isu tergempar pertubuhan itu. Apa yang jelas terzahir adalah Turki menjadi negara yang paling tegas kenyataannya berhubung keputusan Trump mengisytiharkan pemilikan Baitulmaqdis oleh Israel. Sejak sebelum pengisytiharan dan pengiktirafan jahat itu dibuat, Erdogan sudah pun mengancam untuk memutuskan hubungan diplomatik Turki-Israel. Malah, dalam ucapan awamnya yang terbaharu, Erdogan dengan tegas melabelkan Israel sebagai sebuah negara pengganas. Inilah satu contoh bentuk keberanian yang tidak ada dalam diri ramai pemimpin Arab.

Sudah terang lagi bersuluh, Erdogan adalah pemimpin yang benar-benar mahu menyatukan Dunia Islam seluruhnya. Tindakannya memanggil mesyuarat tergempar OIC semalam sudah cukup menjadi bukti kepada kerja kerasnya dalam menggembleng respon umat Islam terhadap pelbagai isu dan kepentingan bersama. Umat Islam di Palestin sememangnya sudah lelah dan letih dengan “kecaman kosong” negara-negara Islam dan Arab terhadap AS dan Israel, apatah lagi apabila ianya tidak disusuli dengan tindakan yang tegas dan konkrit. Maka Dunia Islam begitu mengharapkan kepimpinan Turki untuk segera mengubah “kelesuan” pemimpin-pemimpin ini.

Namun, Erdogan sudah tentu bakal berdepan tugas yang amat mencabar dalam hal ini. Sejauh mana kesungguhan beliau untuk mendepani AS dan Israel dalam isu ini, tidak dapat tidak Erdogan perlu juga mengakui bahawa beberapa pemimpin OIC dan negara Islam sendiri tidak berani untuk pergi lebih jauh daripada sekadar menyatakan retorik penentangan mereka terhadap AS dan Israel. Nyata sekali, pemimpin negara-negara ini begitu pengecut dan terlalu bimbang jika penentangan keras mereka akan menjejaskan hubungan negara-negara mereka dengan AS kelak.

Kebersamaan Malaysia Dengan Turki

Apa pun, pujian seharusnya diberikan kepada kerajaan Malaysia yang tidak mengetepikan keutamaan dalam membicarakan isu perjuangan Palestin. Kehadiran Najib di Istanbul semalam memperlihatkan kenyataan bahawa Malaysia sedia untuk bersama-sama dengan kepimpinan Turki dalam OIC dalam menjuarai nasib saudara seagama bukan sahaja di Palestin, bahkan di seluruh dunia. Seruan Najib agar Dunia Islam bersatu suara dalam isu itu semalam nyata memperlihatkan bahawa Malaysia, biarpun sebuah negara kecil dan terletak jauh di rantau sebelah sini, tetap meletakkan Palestin sebagai antara isu yang paling dekat dalam pelaksanaan polisi luarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here