Majoriti negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengetepikan ugutan Amerika Syarikat (AS), sebaliknya menolak tindakan Presiden Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) tergempar yang tidak mengikat itu memutuskan bahawa langkah diambil Trump itu, sebagai tidak sah dan batal, dengan 128 undi menyokong, sembilan menentang dan 35 negara berkecuali.

Ia diluluskan walaupun, Trump mengugut untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara anggota PBB yang mengundi menentang keputusannya.

Sebaik pengumuman dibuat, wakil Palestin menyambut baik pengundian itu dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan bagi rakyat Palestin serta berterima kasih kepada anggota PBB yang menolak langkah sebelah pihak Trump.

Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeina dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu sekali lagi menegaskan bahawa sebab Palestin mendapat sokongan masyarakat antarabangsa, dan tiada keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak dapat mengubah realiti bahawa Baitulmaqdis adalah wilayah yang dijajah.

Ketua Perunding Palestin, Saeb Erekat yang mengutuk keputusan Washington mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, menyifatkan undi PBB menunjukkan penghormatan kepada undang-undang.

“Ianya hari yang memalukan kepada sesiapa sahaja yang bersama-sama dengan penjajahan dan pendudukan yang melanggar undang-undang antarabangsa.

“Dan, kami menghargai keputusan majoriti komuniti antarabangsa yang berdiri teguh dengan kebijaksanaan, pandangan yang jauh, undang-undang antarabangsa dan kedaulatan undang-undang – bukannya peraturan hutan, walaupun diancam dan diugut oleh Amerika,” katanya.

Mengulas keputusan itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, maruah dan kedaulatan tidak dijual.

Sesi UNGA membabitkan 193 anggotanya diadakan selepas mendapat permintaan daripada negara Arab dan Islam berikutan tindakan AS menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB, Isnin lalu.

Pada mesyuarat Majlis Keselamatan itu, 14 anggotanya meluluskan resolusi menolak langkah Trump, tetapi AS menggunakan kuasa vetonya untuk mengetepikan keputusan itu. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here