HARI ini, para diplomat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dari seluruh dunia akan berhimpun pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bagi mengundi dan meluluskan sebuah resolusi untuk mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu.

Perhimpunan itu mula dipanggil Turki dan Yaman setelah cubaan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk meluluskan draf resolusi yang sama telah diveto AS pada Isnin lalu biarpun kesemua 14 negara ahli UNSC yang lain mengundi menyokong draf resolusi tersebut.

Kuasa Veto Dan Sikap Samseng AS

Walau bagaimanapun, belum pun kesemua anggota UNGA mula berhimpun, AS awal-awal lagi sudah mengeluarkan amaran yang nampaknya lebih berbaur ancaman dan ugutan. Dalam surat yang dihantar kepada ahli-ahli UNGA, Wakil Tetap AS ke PBB Nikki Haley menyatakan bahawa Presiden AS Donald Trump akan memantau proses pengundian hari ini dengan teliti dan AS sendiri akan “mengambil nama” mana-mana negara yang mengundi menentang tindakannya dua minggu lalu. Tindakan unilateral AS dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel telah mengundang protes besar-besaran di seluruh dunia dengan puluhan ribu orang ramai turun ke jalanan bagi membantah keputusan tersebut.

Amaran yang diberikan Haley dan AS terhadap kesemua ahli UNGA ini tentulah berpunca daripada rasa tidak senang negara itu terhadap tindakan sebulat suara kesemua 14 anggota UNSC yang secara terang-terangan mengundi menentang AS dalam hal ini. Walaupun AS berjaya membatalkan resolusi tersebut melalui undi veto yang dilakukan Haley, namun “gelagatnya” yang hanya bersendirian mempertahankan Israel pada sesi undian UNSC Isnin lalu sememangnya merupakan satu tamparan kuat untuk AS, sekaligus menandakan betapa negara “polis dunia” tersebut sedang mengalami pengasingan dan pemulauan oleh masyarakat antarabangsa.

Mengulas mengenai tindakan bersama kesemua negara anggota UNSC lain yang mengundi menentang AS, Haley telah secara terus terang menyifatkan undian mereka itu sebagai satu bentuk penghinaan yang tidak akan dilupakan oleh AS, sambil dalam masa yang sama memberikan amaran kepada masyarakat antarabangsa yang lain agar tidak terus mencabar tahap dan batas kesabaran rakyat AS. Haley juga mengancam kesemua negara anggota UNGA bahawa Trump dan AS akan mengambil kira dan menghakimi proses undian nanti secara peribadi.

Negara Pembuli Dan Penaja Keganasan

Demikianlah bongkaknya kenyataan AS yang secara terang-terangan bercanggah terus dengan segala usaha ke arah pemeliharaan keamanan dan kestabilan sejagat. Apabila AS sudah mengeluarkan ugutan bahawa ia akan “mengambil nama” kesemua negara yang mengundi menentang negara itu hari ini, situasi tersebut memperlihatkan bahawa ia sememangnya tidak pernah pun peduli tentang suara masyarakat antarabangsa asalkan kepentingan sekutunya Israel terus dibela dan dijamin. Jika sebahagian masyarakat dunia sudah mula melabelkan Israel sebagai sebuah negara pengganas, maka AS pula layak digelar sebagai negara penaja keganasan.

Sejak lebih 40 tahun yang lalu, AS telah menggunakan vetonya bagi membatalkan lebih 42 draf resolusi UNSC ke atas sikap dan tindak-tanduk Israel dalam konfliknya dengan penduduk Palestin. “Perlindungan” yang diberikan AS itu membolehkan Israel terus melakukan kekerasan dan penindasan ke atas Palestin sehinggalah ke saat ini. AS jugalah yang menjadi negara yang paling banyak menumpahkan darah orang yang tidak berdosa di serata dunia terutamanya di Timur Tengah apabila dengan tanpa rasa bersalah berterusan mengebom dan membunuh ramai orang Islam yang ternyata menjadi mangsa keadaan.

Prospek Tindakan Terhadap Israel

Mengambil kira ancaman dan ugutan yang diberikan AS berhubung proses pengundian yang akan berlaku dalam tempoh beberapa jam sahaja lagi, maka timbul beberapa persoalan. Adakah negara-negara anggota UNGA akan terus mengundi menentang AS sebagai bukti komitmen mereka terhadap proses pemeliharaan keamanan sejagat? Atau apakah di sana ada beberapa negara yang akan mula merasa kecut dan bimbang dengan ancaman yang telah dinyatakan secara “biadap” oleh AS? Kemungkinan sebegini tidak boleh ditolak kerana pada hakikatnya, sebahagian negara Islam yang sepatutnya lebih tegas dan keras mengenai isu Palestin pun sudah ‘diikat jiwa’ mereka oleh AS. Jika negara saudara seagama sendiri sudah tidak boleh diharap, apatah lagi negara-negara yang lain.

Apapun, ramai pemerhati berpendapat bahawa undian yang akan berjalan ke atas resolusi itu kelak berpotensi untuk mencapai sasaran dua pertiga dengan mudah, sekaligus membuka jalan untuk UNGA yang dianggotai 193 negara meluluskan resolusi tersebut. Walau bagaimanapun, resolusi yang diluluskan UNGA tidak sama tarafnya dengan resolusi yang diluluskan UNSC. Resolusi UNGA tidak sama sekali mengikat negara anggota untuk mengambil sebarang tindakan mengenai hal yang diputuskan. Ia berbeza sama sekali dengan resolusi UNSC yang secara

Ini bermakna resolusi yang mungkin diluluskan UNGA hari ini hanya akan berfungsi sebagai sebuah rekomendasi dan bertindak sebagai satu manifestasi jelas masyarakat antarabangsa mengenai pendirian mereka terhadap isu Baitulmaqdis. Israel tidak pernah mempedulikan sebarang resolusi PBB kerana pada mereka AS adalah sebenar-benar entiti yang paling berkuasa. Atas faktor itu, resolusi UNGA mengenai tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai milik Israel dua minggu lalu tentu sekali tidak akan memberikan sebarang kesan langsung kepada dua negara bersekutu itu. Tetapi setidak-tidaknya resolusi tersebut, jika direalisasikan dan digabungkan pula dengan faktor undian 14-1 di UNSC Isnin lalu, boleh menjadi satu petanda jelas bahawa AS kini sememangnya hanya bersendirian dalam membela kepentingan Israel di PBB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here