Peraturan dalam perlembagaan parti-parti politik digubal untuk dipatuhi dan kebiasannya peraturan-peraturan ini penting untuk sesebuah parti itu bergerak dalam kerangka organisasi yang teratur. Semua peraturan dalam perlembagaan parti ini merupakan panduan khusus untuk kita mengenali bagaimana sesebuah parti itu bergerak di samping menilai secara menyeluruh matlamat penubuhannya.

Namun tidak dinafikan selain daripada peraturan formal terdapat parti-parti politik yang mengenakan peraturan luar biasa kepada ahli-ahlinya yang dipilih sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Parti Islam SeMalaysia (PAS) misalnya dikenali dengan peraturan baiah atau sumpah saat setia yang dilafazkan oleh calon-calon pilihan raya parti berkenaan.

Baiah di pihak PAS dilihat unik dan adakalanya seperti tidak masuk akal. Malah Baiah ini bersifat tersembunyi dan tidak diketahui umum. Misalnya apabila ramai pemimpin PAS keluar parti dan membentuk Parti Amanah Negara (PAN), isu baiah ini dibincangkan dengan cukup hangat. Malah ada yang mengaitkannya baiah di pihak PAS ialah jika seseorang calon itu melompat parti atau berpaling tadah, maka akan jatuh talak tiga terhadap isterinya. Ini bermakna akan berlaku pembubaran perkahwinan.

Baiah seperti ini merupakan satu amalan yang tidak sihat kerana perlawanan politik tidak sewajarnya mengganggu hal kekeluargaan yang disifatkan sebagai hal peribadi. Tindakan seperti ini bukan satu tindakan demokratik dan dianggap menjejaskan institusi kekeluargaan. Di samping itu tindakan baiah dengan menggunakan ikatan perkahwinan sebagai cagaran dilihat sebagai cuba mempermain-mainkan masa depan sesebuah keluarga.

Politik sewajarnya diasingkan daripada institusi kekeluargaan dan pilihan untuk melompat parti dan sebagainya bukan satu hal yang boleh dikaitkan dengan perkara ini. Mujur di pihak Barisan Nasional (BN) hal berkaitan ini tidak berlaku dan BN dilihat lebih terbuka dalam menilai situasi politik. Kerangka politik tidak boleh disamakan dengan apa-apa keadaan kerana pertimbangan politik sentiasa berubah-ubah.

Malah tindakan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menggerakkan kempen untuk bakal calon pilihan raya menandatangani aku janji untuk tidak berpaling tadah apabila memenangi pilihan raya juga dilihat tidak bersesuaian. Sejumlah wang denda perlu dibayar dengan penyaluran wang berkenaan akan masuk ke akaun badan yang diterajui Rafizi, Invoke Malaysia.

Tidak pasti bagaimana hal-hal seperti percaturan politik untuk pilihan raya ini boleh dirumitkan begitu sekali. Sebenarnya hal-hal ini hanya cetusan pembangkang yang jelas mempunyai rasa sangsi terhadap calon masing-masing. Jika wujud rasa percaya dan keupayaan parti itu sendiri cukup kukuh, maka tidak akan timbul hal-hal yang disifatkan sebagai mengarut seperti ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here