Sidang Parlimen tergempar dijalankan untuk membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil oleh Malaysia untuk mengakhiri malapetaka etnik Rohingya ini, demikian menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, semua rakyat Malaysia pastinya begitu terkesan dengan keganasan dan kesengsaraan yang berlaku ke atas wilayah Rakhine di Myanmar, terutamanya segala tindakan ganas yang dikenakan ke atas kaum Rohingya.

“Keganasan dan krisis kemanusiaan yang berlaku ke atas Rohingya bukan sahaja berkemungkinan mengganggu kestabilan Myanmar dan negara jiran, tetapi juga kepada rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

“Saya berharap agar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan membenarkan ahli Parlimen untuk membahaskan isu ini apabila Dewan bersidang semula nanti.

“Sememangnya ini masa paling sesuai untuk memanggil sidang Parlimen tergempar untuk membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil oleh Malaysia untuk mengakhiri malapetaka ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak berkuasa perlu lebih berhemah ketika berurusan dengan penunjuk perasaan Rohingya yang ditahan tempoh hari berdekatan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, di dalam lunas undang-undang.

“Suatu ketika dahulu, beberapa tokoh daripada Kerajaan Persekutuan dan parti politik tertentu telah mengambil bahagian di dalam satu perhimpunan yang sama untuk menegakkan hak Rohingya.

“Oleh itu seluruh rakyat Malaysia haruslah bersatu untuk menggesa kerajaan, dan masyarakat antarabangsa, termasuklah institusi seperti PBB, OIC dan Asean untuk mengambil segala tindakan diplomatik yang boleh mengakhiri keganasan di Rakhine.

“Pada masa sama, penyelesaian yang berkekalan ke atas status kaum Rohingya juga mestilah dicapai, termasuklah mempertahankan hak kerakyatan mereka di negara Myanmar dengan segera,” jelasnya.

Terdahulu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menafikan berlaku rusuhan membabitkan sekumpulan warga Rohingya di sekitar Kuala Lumpur seperti rakaman video yang tular.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kejadian itu tidak berlaku seperti yang didakwa dan tidak benar sama sekali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here