PELAKON yang terkenal menerusi filem Nasi Tangas, Azwan Kombos dikatakan sedang hangat bercinta dengan pelakon jelita Ezzaty Abdullah yang pernah membintangi drama Delina di TV9, sejak artis ini putus cinta dengan Nad Zainal,

Berpeluang mendapatkan penjelasan daripada pelakon tersebut pada majlis sidang media pengumuman calon-calon anugerah FFM di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, Azwan memberikan jawapannya.

“Ezzaty memiliki ciri-ciri wanita idaman saya. Dia cantik, pandai bawa diri dan bijak bergaul dengan keluarga saya.

“Setakat ini, saya pernah bawa dia berjumpa dengan kakak saya. Saya kagum cara dia bawa diri dan bergaul dengan kakak saya. Contoh macam dia masuk dapur basuh pinggan dan bantu kat dapur. Jadi itu antara ciri-ciri yang buat saya kagum. Sesetengah orang kan kekok bila pergi rumah orang lain,” kata Azwan.

Bagaimanapun Azwan mengakui hubungan itu bukanlah sehingga tahap bercinta. Mereka masih berkawan rapat dan sedang mengenali fasa perhubungan yang sebenar.

“Kami masing-masing ada pengalaman pahit dalam percintaan. Pengalaman mematangkan seseorang. Jadi buat masa ini, kami mahu saling mengenali tapi belum sampai tahap bercinta. Kami pun baru lima bulan kenal,” akui Azwan yang mula mengenali Ezzaty apabila dijemput menjadi juri awam Mentor Legend, baru-baru ini.

Jaga Disiplin

Tercalon sebagai Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 27 yang akan berlangsung 5 September ini, Azwan mengakui berdebar dan teruja dengan pencalonan tersebut.

“Ini kali pertama saya dicalonkan di mana-mana anugerah. Satu kejutan buat saya. Teruja, bersemangat, gementar dan macam-macam perasaan bercampur baur. 

“Apa yang saya boleh katakan saya bersyukur kerana karakter itu mendapat perhatian. Sebanyak 70 peratus daripada watak itu adalah dari diri saya sendiri. Selebihnya bantuan pengarah untuk saya lebih menghayati watak yang diberikan,” katanya yang dicalonkan bagi watak Hairi menerusi filem Nasi Tangas.

Menariknya, gandingan Azwan dalam filem tersebut, iaitu Adibah Yunus juga dicalonkan kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik.

Pelakon yang memulakan karier menerusi sitkom Impian Elyana ini merupakan seorang yang tidak mempunyai latar belakang lakonan, tetapi mampu menzahirkan karakter dengan baik.

“Apa yang penting penghayatan watak. Saya juga mengamalkan sikap jaga call time sewaktu penggambaran. Disiplin akan mengekalkan saya dalam industri ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here