mahathir
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad tentang siapa Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan.

Jelas Azmin, sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar mempunyai hak untuk bersuara dan memberi pandangannya terhadap parti dalam Pakatan Harapan dan menegaskan semua pemimpin dalam Pakatan Harapan seharusnya menyelesaikan semua isu secara dalaman.

“Saya nak ingatkan Tun Dr Mahathir Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Ketua Umum  kepada Pakatan Harapan. Beliau bukan sekadar Ketua Umum kepada Keadilan. Jadi sebagai Ketua Umum beliau juga berhak memberikan padangan dan cadangan”.

Kritikan Menteri Besar Selangor itu merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan kandungan surat Anwar daripada penjara  akan mengundang masalah kepada Pakatan Harapan ketika persiapan sedang dilakukan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Jelas Azmin semua barisan pimpinan Pakatan Harapan sepatutnya menyelesaikan semua isu secara dalaman dan bukannya membuat kenyataan secara terbuka terutamanya kepada media.

Bagaimanapun, Azmin tidak menafikan wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan.

“Perbezaan memang ada. Saya selalu sebut, Obama (bekas presiden Amerika Syarikat) selalu sebut democracy is noisy process, bising. Media kacau, media putar belit, media spin. Ini sebahagian daripada proses demokrasi dan saya perlu menerimanya. Soalnya bagaimana kita perlu mengurusnya. Sebagai pemimpin kita kena uruskan dengan baik dan bertanggungjawab .Buat (selesaikan) secara dalaman,” katanya di Majlis Perasmian Selangor International Business Summit 2017, di sini hari ini.

Pada Rabu, Dr Mahathir menegaskan Pakatan Harapan akan menamatkan segala hubungan dengan Pas dan kenyataan Anwar (Ibrahim) melalui suratnya dari penjara yang memberi lampu hijau untuk PKR meneruskan rundingan dengan Pas hanya akan mengundang masalah kepada Pakatan Harapan.-AWANI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here