Azmin

DAP pastinya ‘kurang senang’ dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang mengatakan bahawa Selangor masih ditadbir Pakatan Rakyat yang menggabungkan PKR, PAS dan DAP sendiri.

Ini kerana, bagi DAP, Selangor kini sudah ditadbir oleh Pakatan Harapan yang diketuai parti berkenaan dan langsung tiada kena mengena dengan PAS.

Umum mengetahui bagaimana DAP boleh dikatakan ‘berdendam’ dengan PAS yang bertindak memutuskan hubungan dengan parti itu.

Selepas kenyataan Azmin itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tampil menyatakan bahawa Selangor diperintah oleh Pakatan Harapan.

Persoalannya, masih wujudkah Pakatan Rakyat?

Dan jika ada, adakah pembangkang kini terbahagi kepada dua kelompok iaitu Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan?

Pakatan mana yang akan mentadbir Malaysia jika ditakdirkan mereka memenangi pilihan raya umum akan datang?

Dasar pentadbiran manakah mahu dilaksanakan, acuan Pakatan Harapan atau cara Pakatan Rakyat?

Kalau Pakatan Harapan bermakna ia menggabungkan DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN.

Jika Pakatan Rakyat pula menggabungkan PKR, DAP dan PAS tetapi PAS sendiri sudah menegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP dan PAN.

PAS juga telah menolak untuk bersama PPBM dan memutuskan hubungan politik dengan PKR, maknanya PAS akan bersendirian.

Bercelaru jika melihat kepada dua kelompok berkenaan.

Tetapi kenapa Azmin mengeluarkan kenyataan sedemikian?

Adakah Azmin masih mengharapkan kerjasama PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang?

Jika benar, Azmin dilihat kurang yakin dengan bantuan PAN dan PPBM untuk memastikan mereka terus menguasai Selangor.

Bagaimanapun, PAS telah memutuskan tiada lagi kerjasama politik dengan PKR yang turut menganggotai Pakatan Harapan diketuai DAP.

Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat pada 11 Mei lepas memutuskan untuk membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR.

Adakah Azmin sehingga kini tidak gembira dengan keputusan PAS yang memutuskan kerjasama politik dengan PKR?

Bagaimana pula kedudukan pembangkang di Selangor tanpa sokongan PAS?

Jika dilihat, kedudukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor jika tanpa sokongan PAS sebenarnya adalah agak mencemaskan.

Dengan PAS dan DAP masing-masing mempunyai 15 kerusi, manakala 13 lagi milik PKR, sebarang keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR boleh mengubah senario politik di Selangor.

Sebanyak 29 daripada 56 kerusi di DUN Selangor diperlukan untuk pembentukan kerajaan.

Adakah ini menjadi kerosakan dan kerisauan kepada Azmin menjelang PRU-14?

Jika benar perkara itu menakutkan Azmin, adakah DAP juga akan senada dengan Menteri Besar Selangor itu?

Sudah tentu tidak akan senada.

Sebenarnya, banyak perkara yang memperlihatkan bahawa Pakatan Harapan mahupun Pakatan Rakyat kini semakin bercelaru.

Soal siapa Perdana Menteri masih belum selesai manakala pembahagian kerusi belum muktamad.

Pada mulanya mereka mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas itu Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menyatakan bersedia menjadi Perdana Menteri dan kemudiannya wujud pula nama Azmin yang disifatkan pemimpin muda paling layak.

Tidak kira apapun kehendak PKR, PPBM mahupun PAN, seperkara mereka perlu ingat segalanya tidak akan tercapai tanpa restu DAP.

Kalaulah di Kelantan, DAP sudah menyatakan siapa yang mereka mahu menjadi Menteri Besar kalau Pakatan Harapan menguasai negeri itu, apakah dalam soal siapa Perdana Menteri, DAP bersedia menyerahkan bulat-bulat kepada ketiga-tiga parti tersebut untuk menentukannya?

Lagipun, setakat ini DAP masih belum menunjukkan sebarang tanda untuk menyerahkan mana-mana kerusi miliknya sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada PAN atau PPBM.

DAP hanya membiarkan soal itu diuruskan oleh PKR, PPBM dan PAN.

Maknanya ketiga-tiga parti berkenaan perlu berunding sesama sendiri untuk pembahagian kerusi manakala DAP akan terus kekal dengan kawasan yang ditandinginya.

Jika itu berlaku apakah PKR, PPBM atau PAN boleh menjadi salah sebuah parti yang memenangi paling banyak kerusi berbanding DAP?

Sekadar mimpi mungkin boleh tetapi realitinya DAP sama sekali tidak akan membiarkan keadaan itu berlaku.

Oleh itu, tidak perlulah PKR, PPBM atau PAN beria-ia mahu menentukan siapa Perdana Menteri, segala-galanya akan ditentukan oleh DAP juga.

Lagipun jangan terkejut kalau DAP meletakkan calon Melayu di kerusi milik mereka kerana kalau mereka memenangi kerusi lebih banyak berbanding ketiga-tiga parti berkenaan dan Pakatan Harapan menang PRU-14 maka bolehlah wakil mereka sendiri menjadi Perdana Menteri.

Semua ini tidak mustahil berlaku di sebalik kerakusan dan cita-cita besar DAP untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.

Dalam politik tiada pekara yang mustahil.

Tetapi dalam pembangkang, rakyat sendiri boleh melihat parti mana yang lebih dominan biarpun dalam Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.

Tidak kira apapun nama pakatan dianggotai oleh parti pembangkang dan pendekatannya, yang tetap akan berkuasa adalah DAP.

Parti-parti sekutu mereka hanyalah sekadar ‘pak turut’ dan ‘kuda tunggangan’ kepada DAP.

Azmin boleh terus ‘bermimpi’ untuk mengharapkan kerjasama dari PAS pada PRU-14 nanti kerana yang akan menentukan adalah DAP.

Timbul juga persoalan, adakah PKR akan membentuk kerjasama dengan PAS pada PRU akan datang?

Jika ingin bekerjasama dengan PAS, PKR perlu terlebih dahulu memutuskan hubungannya dengan ‘bos besar’ pembangkang iaitu DAP.

Beranikah PKR dan Azmin untuk berbuat demikian?

Rakyat kini menantikan episod atau drama seterusnya yang akan berlaku dalam Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

Kumpulan mana yang akan mendapat sokongan rakyat? Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan?

Apa yang pasti, kedua-duanya pasti berada di bawah kawalan kuasa DAP!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here