Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan penglibatannya dalam menganugerahkan sebarang kontrak perlombongan pasir di Selangor, sehari selepas seorang anak saudaranya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya, menteri besar Selangor itu berkata kontrak pasir dikendalikan Kumpulan Semesta Sdn Bhd, yang tidak dianggotai beliau.

“Tanah dimiliki kerajaan negeri. Sekiranya ada permohonan untuk aktiviti perlombongan pasir, ia diuruskan Kumpulan Semesta Sdn Bhd Semua proses dijalankan kumpulan ini.

“Kita mahu proses perolehan dibuat secara telus, bertanggungjawab dan kita tidak pernah berkompromi dalam soal perlaksanaan perolehan dalam negeri Selangor,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Festival Halal Selangor di sini.

Azmin berkata beliau yakin dengan syarikat pegawai kumpulan berkenaan mempunyai integriti dan melakukan proses kontrak perlombongan pasir secara telus dan terbuka.

Kumpulan Semesta ditubuhkan tidak lama selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor selepas pilihan raya umum 2008.

Peranan utamanya ialah eksplorasi, perlombongan, pengeluaran dan penjualan pasir, bahan batuan dan sumber mineral di negeri Selangor.

Semalam, SPRM dilaporkan membuat tangkapan 4 lelaki, termasuk seorang anak saudara Azmin berumur 30-an.

Pagi tadi, Mahkamah Majistret membenarkan mereka direman selama 7 hari untuk disiasat tuduhan rasuah melibatkan projek lombong pasir.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (B) kerana memberi suapan berkait projek lombong pasir pada 2014.

FMT turut difahamkan beberapa akaun syarikat bernilai sehingga RM4 juta dibekukan.

Sabotaj

Azmin berkata penahanan anak saudaranya itu satu cubaan untuk sabotaj dan merendahkan kredibiliti kerajaan negeri menjelang Perhimpunan Agung Umno 2017 minggu depan.

“Saya melihat seolah-olah ada konspirasi politik kerana sebelum beliau ditahan, blogger Umno sudah mengeluarkan maklumat ini lebih awal dari tindakan SPRM.

“Kenapa ini berlaku? Saya tidak mahu tindakan politik mempengaruhi siasatan ini. Namun saya serahkan SPRM, kita alu-alukan siasatan berjalan dengan telus dan profesional,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here