Akhir-akhir ini nama Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sering disebut-sebut media atas pelbagai perkara. Namun hal paling mengejutkan penahanan anak saudara beliau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes melombong pasir di Selangor.

Azmin jelas cuba mengalih perhatian berkenaan isu ini apabila menyatakan tindakan diambil SPRM itu bermotif politik dan hal ini pantas dinafikan SPRM dengan mendakwa penahanan anak saudara Menteri Besar Selangor itu berasaskan kepada bukti dan usaha berterusan SPRM untuk menjunjung pentadbiran negeri yang bebas rasuah serta bertintegriti tinggi. Sewajarnya Azmin tidak menyalahkan SPRM, sebaliknya perlu berlapang dada dan membenarkan SPRM menjalankan tugas secara bebas.

Nama Azmin kian hangat apabila adik beliau yang juga selebriti terkenal, Azwan Ali tampil membuat kenyataan membidas pentadbirannya di Selangor dan mendakwa mempunyai cukup bukti untuk mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan Azmin di negeri berkenaan. Malah Azwan juga sedia bersemuka dengan YAB Perdana Menteri untuk mengemukakan bukti-bukti berkenaan. Ini sudah tentu membuatkan Azmin tidak selesa dan bakal menjejaskan peluang beliau untuk terus menduduki kerusi Menteri Besar Selangor.

Azmin merupakan satu-satunya calon yang dilihat mempunyai kekuatan tersendiri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan (PH) jika gabungan politik pembangkang itu menang dalam pilihan raya umum akan datang. Namun apabila PH mencadang untuk menamakan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, ini jelas tidak menyenangkan Ahli Parlimen Gombak itu.

Cadangan PH ini dilihat sebagai satu langkah penamat kepada cita-cita tinggi politik Azmin dan protes kumpulan Azmin terhadap cadangan ini sedang berlaku secara senyap-senyap di dalam PH. Malah kelompok penyokong Azmin dilihat tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan positif terhadap cadangan yang dikemukakan PH itu. Malah Azmin ketika ditemui juga menganggap ia sekadar satu cadangan dan tidak lebih dari itu.

Azmin juga kelihatan masih cuba mengintai peluang untuk menjadi Perdana Menteri apabila menganggap PH belum membuat apa-apa keputusan siapa bakal menjadi Perdana Menteri. Justeru Azmin dilihat masih mempunyai keupayaan untuk menggerakkan sokongan jenteranya sendiri bagi melobi untuk merebut jawatan terpenting itu. Inilah satu kepelikan yang sedang berlaku dalam PH, belum mentadbir sudah jauh berangan-angan tentang siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

Namun cita-cita Azmin ini bukan sekadar bakal terbantut disebabkan oleh cadangan PH mencalonkan Tun M dan Wan Azizah, tetapi profil Azmin kini sedikit tercalar dengan penahanan anak saudarannya oleh SPRM dan juga kesediaan Azwan membongkarkan segala kepincangan Azmin semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor. Ini pertimbangan paling serius perlu dibuat Azmin kerana faktor-faktor luar jangka seperti ini mampu menjejaskan karier politik beliau secara keseluruhannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here