Azmin

SHAH ALAM –  Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar secara sinis menyindir Menteri Besar Selangor sebagai Mat Jenin kerana mahu mencabar Presiden UMNO bagi kawasan Pekan. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata, Mohamed Azmin juga tidak layak menjadi menteri besar kerana sikap angkuhnya itu.

“Mohamed Azmin berangan terlalu tinggi, kononnya nak lawan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan. Angan-angan dia tak munasabah utuk dicapai.

“Sikap ini sama seperti Mat Jenin yang berangan tinggi untuk kahwin dengan puteri raja. Jadi eloklah dia ke JPN, segera tukar nama,” katanya pada sidang media, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mohamed Azmin menolak cabaran Noh untuk bertanding di Parlimen Tanjong Karang kerana lebih berminat dengan kerusi Pekan kerana lawan yang diidamkannya ialah Najib.

Malah Mohamed Azmin turut memperlekehkan Noh sebagai bukan tandingannya pada PRU akan datang.

Mengenai sindiran Mohamed Azmin itu, Noh berkata, bukan menjadi rahsia lagi Adun Bukit Antarabangsa itu tidak pernah mendapat sokongan daripada PKR untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Katanya, pada tahun 2008 PKR melantik bendahari Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, mengetepikan Mohamed Azmin.

“Kenapa orang tak pilih dia, sedangkan jawatannya dalam parti lebih tinggi daripada Abdul Khalid? Jelas PKR lebih mengiktiraf kepimpinan bendahari berbanding timbalan presiden kerana Mohamed Azmin tak layak jadi calon MB.

“Kita juga boleh lihat selepas Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor, calon yang dicari bagi menggantikan beliau juga tak ada sehingga PKR terpaksa buat Langkah Kajang, berlaku pilihan raya kecil dan ganti Adun di situ dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jadi calon MB.

“Sekali lagi, peranan Mohamed Azmin tidak diiktiraf,” katanya.

Namun katanya, atas sebab-sebab tertentu, katanya, baharu nama Mohamed Azmin dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor.

“Dia dapat jadi menteri besar atas linangan air mata orang lain dan seperti kata pepatah Melayu, tidak ada rotan, akar pun berguna. Jadi Azmin ni ibarat akar saja, ini bukan saya cakap tapi sejarah menunjukkan kepimpinan dia memang tak pernah dapat pengiktirafan.

“Kalau PKR pun tak iktiraf dia, jangalah berangan nak letak diri setaraf dengan presiden Umno, apatah lagi nak bertanding di kerusi Pekan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here