Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), percaya tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menangguhkan inisiatif Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di negeri itu disebabkan tiada masa kerana terlalu sibuk.

Sehingga ke saat ini, program itu tidak dijayakan di negeri itu walaupun perbincangan untuk mencari tarikh baharu sudah dilakukan.

“SPRM tidak meminta apa-apa selain komitmen membanteras rasuah… dengan ikrar sahaja, itu sahaja yang kita pinta.

“Azmin haruslah menunjukkan kepemimpinan negeri yang ditadbir dengan bersih.

“Mungkin dengan tarikh baharu dan sesuai kerajaan Selangor sudi melakukannya, tetapi setakat ini ia masih belum ada.

“Mungkin beliau (Azmin) agak sibuk sehingga tidak mempunyai masa untuk kami,” katanya selepas Kembara Jelajah Antirasuah (KEJAR) 2017 peringkat negeri Selangor, di sini.

Yang turut hadir adalah Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah, yang mewakili Sultan Selangor.

Dzulkifli berkata, kerajaan negeri Selangor seharusnya mengambil contoh sembilan komuniti daerah di negeri itu yang sudah menandatangani IBR, hari ini.

Ditanya mengapa Azmin tidak muncul pada program KEJAR itu, Dzulkifli berkata, pemimpin itu dijadualkan hadir berdasarkan perancangan awal program.- BH

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here