Azmin

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan barisan kepimpinan gabungan itu di Selangor dengan nisbah 4:3:3:2 antara empat parti komponennya.

Empat jawatan diisi oleh pemimpin PKR, manakala pemimpin BERSATU diberikan dua jawatan dalam struktur kepimpinan baru itu.

Azmin melantik empat timbalan pengerusi yang terdiri daripada Tony Pua (DAP), Ir. Izham Hashim (AMANAH), Datuk Abdul Rashid Asari (BERSATU) dan Sivarasa Rasiah (PKR).

Selain Azmin dan Sivarasa, pemimpin PKR dalam barisan baru itu ialah anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin sebagai setiausaha dan ADUN Seri Andalas, Xavier Jeyakumar selaku pengarah pilihan raya.

Sementara itu, speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dari DAP dilantik sebagai bendahari manakala Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo sebagai pengerusi biro undang-undang.

Dari parti AMANAH, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim dilantik sebagai penolong setiausaha dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa manifesto.

Anggota majlis kepimpinan BERSATU, Datuk Dr Sukiman Sarmani pula dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Barisan kepimpinan baru itu diumumkan selepas mesyuarat antara pemimpin HARAPAN Selangor, awal hari ini.

“Saya berkeyakinan bahawa kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Selangor akan terus maju ke hadapan dengan tekad untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Mesyuarat juga telah membincangkan secara dasar tentang manifesto dan gerak kerja pilihan raya termasuk program-program penerangan yang akan memberikan pencerahan dan maklumat kepada rakyat mengenai kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor,” tambah Azmin.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here