Azmin Ali

Sebuah portal berita dalam talian melaporkan Menteri Besar Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali menegaskan Pakatan Rakyat masih wujud di Selangor dalam konteks pentadbiran Kerajaan Negeri. Ini sebenarnya satu kenyataan yang mengejutkan dan ramai bakal mempersoalkan komitmen sebenar Azmin dalam Pakatan Harapan.

Pentadbiran pembangkang di Selangor sebenarnya berdepan krisis selepas Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat dan memutuskan hubungan politik dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan PKR. Tindakan berkenaan meletakkan situasi sukar kepada pentadbiran Azmin apabila terdapat beberapa orang Exco Kerajaan Negeri terdiri daripada PAS. Namun Azmin dilihat memiliki sikap yang berlainan kepada parti berkenaan dan masih mengekalkan wakil PAS dalam pentadbiran beliau.

Tindakan Azmin ini melihatkan bagaimana beliau melihat kepentingan PAS sebagai pendokong utama pentadbiran beliau dan tanpa PAS kemungkinan besar pentadbirannya bakal goyah dan Barisan Nasional (BN) akan mengambil peluang yang terhidang ini.

Namun kenyataan dibuat Azmin mengenai kewujudan Pakatan Rakyat di Selangor dari sudut pentadbiran dan menghormati mandat rakyat agak mengelirukan kerana dalam masa silam Azmin turut berpandangan di peringkat nasional dan dalam konteks politik Azmin memberikan jaminan untuk bersama-sama dalam membangunkan Pakatan Harapan.

Di sinilah kecelaruan dan kekeliruan timbul dan bagaimana Azmin boleh bekerja dalam dua keadaan yang sebenarnya bakal mendatangkan musibah kepada pentadbiran beliau. Azmin akan dilihat tidak mematuhi konsensus dalam Pakatan Harapan dan tetapi masih berpegang kepada memori politik lampau. Azmin perlu dilihat tegas dalam memilih gabungan politik bersesuaian di negeri Selangor dan tidak ragu-ragu dalam menetapkan dasar untuk menggunakan Pakatan Harapan di Selangor.

Sebenarnya terdapat beberapa orang pemimpin dalam kalangan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang boleh dibawa oleh Azmin ke dalam pentadbiran beliau untuk menggambarkan bahawa Selangor sudah melupakan Pakatan Rakyat dan benar-benar memiliki komitmen penuh terhadap Pakatan Harapan. Namun hal ini tidak dibuat Azmin dan lantas menimbul persoalan keraguan Azmin terhadap keupayaan pemimpin parti-parti baru dalam Pakatan Harapan.

Namun Azmin kemungkinan tersepit dalam keadaan politik yang bercelaru. Keadaan ini sebenarnya memberikan kita ruang untuk menilai bagaimana Azmin mengutamakan gabungan politiknya dan jika Selangor masih menjadi milik pakatan pembangkang nanti apakah Azmin masih dikekalkan sebagai Menteri Besar dan jika dikekalkan adakah beliau masih mahu menari dalam lagu memori Pakatan Rakyat atau bertukar gendang ke rentak Pakatan Harapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here