Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, didakwa cuba mensabotaj pakatan pembangkang di Selangor.

Ia susulan percakaran antara Menteri Besar Selangor itu dengan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) berhubung pembahagian kerusi pembangkang di negeri terbabit bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Ronnie Liu, menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya semalam, membidas Mohamed Azmin serta mempersoalkan tindakannya yang menuduh pemimpin PAN sebagai menipu.

Dalam ruangan komen status sama, Ronnie turut mendakwa Mohamed Azmin sebagai menipu, selain mengaku menolak Ahli Parlimen Gombak itu sebagai pemimpin pembangkang.

“Tolak MB min (Mohamed Azmin) bukan tolak PKR. Tolak PAS bukan tolak Islam.

“Tolak MB min kerana dia sabotaj PH (Pakatan Harapan). MB min yang kata Amanah (PAN) menipu. Sebenarnya dia yang menipu,” katanya.

Kelmarin, Mohamed Azmin membidas PAN dan menuduh parti sekutunya itu tidak amanah kerana mendakwa pembahagian kerusi di Selangor belum dimuktamadkan.

Menteri Besar Selangor itu dilaporkan berkata, pengagihan kerusi yang akan ditandingi parti komponen pembangkang bagi negeri berkenaan sudah dibincang menerusi jawatankuasa yang sudah empat kali bertemu.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PAN menyelar dakwaan Mohamed Azmin itu dan menafikan wujud perbincangan berhubung perkara terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here