“Ini mesej kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Tolong, tolong, tolong tengok pasukan bola sepak Selangor.

Demikian luahan Presiden Majlis Belia Selangor, Hafez Shuridin apabila berbicara soal kemelut yang melanda bola sepak Selangor.

Ini berikutan, sehingga ke hari ini pasukan yang pernah menjadi juara Piala Malaysia 33 kali itu masih dibelenggu masalah venue rasmi untuk saingan Liga Super 2018.

Jelas Hafez, sebagai Menteri Besar, Azmin seharusnya mementingkan pasukan bola sepak negeri dan bukannya menidakkan hak mereka serta penyokong Selangor.

“Bila cerita kemelut bola di negeri Selangor ni memang sedihlah..sedih! Rasa nak menitik air mata bila cerita pasal bola. Pasukan kita sendiri ditidakkan, bawa pasukan lain sebab mungkin pasukan itu ada pendapatan sendiri.

“Bayangkan pasukan yang memenangi Piala Malaysia 33 kali tiada stadium sendiri untuk beraksi, walhal bola sepak ini sudah menjadi roh dalam diri penduduk Selangor,” ujarnya.

Katanya, tiada keperluan untuk Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menebalkan muka berjumpa Menteri Besar untuk merayu, sebaliknya sebagai pemimpin tertinggi beliau perlu mengetahui bola sepak adalah sebahagian keperluan di negeri Selangor.

“Dengan MB (Menteri Besar) terdahulu tak perlu pun nak tebalkan muka untuk menghadap MB, tapi MB sendiri sudah tahu tugas mereka untuk majukan bola sepak.

“Jadi, apa perlunya FAS menghadap MB untuk merayu kali ini? Hari ini kami benar-benar kecewa dengan kemelut yang berlaku,” katanya.

Kemelut bola sepak Selangor menjadi lebih parah musim ini apabila permintaan mereka untuk menjadi Stadium Bukit Jalil sebagai venue rasmi saingan liga tidak kesampaian berikutan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta stadium itu digunakan hanya untuk pasukan kebangsaan.

FAM turut mengarahkan skuad The Red Giants mencari stadium alternatif lain segera memandangkan saingan liga musim 2018 hampir membuka tirainya.

— Sinar harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here