MENJELANG PRU14, Negeri Sembilan antara negeri yang menjadi tumpuan, khususnya pembangkang dalam usaha merampas kepimpinan daripada BN.

Pada PRU13 lalu, daripada 36 kerusi Dun dan 8 kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, BN menang 22 kerusi Dun, DAP 11 kerusi dan PKR 3 kerusi.

Bagi kerusii Parlimen, BN memenang 5 kerusi, DAP 2 dan PKR 1 kerusi.

Prestasi BN pada pilihan raya 2013 itu ternyata lebih baik berbanding sebelumnya meskipun gagal mendapat majoriti dua pertiga, apabila berjaya merampas semula kerusi Ampangan daripada PKR dan Paroi daripada Pas, namun kehilangan kerusi Chennah kepada DAP.

Banyak pihak berpendapat, BN tidak berdepan kesukaran untuk kekal menjadi kerajaan negeri, dalam situasi politik semasa yang menyaksikan BN bukan sahaja berhadapan Pakatan Harapan (Harapan), malah Gagasan Sejahtera yang disertai Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Laluan mudah BN di Negeri Sembilan itu bersandarkan pengaruh kuat BN khususnya di luar bandar, aura Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Populairiti ‘Tok Mat Hasan’

Bagi pengundi di Negeri Sembilan, karisma yang dimiliki Datuk Seri Mohamad Hasan yang mesra dipanggil ‘Tok Mat Hasan’ sukar ditandingi mana-mana pemimpin pembangkang.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Martadha Mohamad, BN akan kekal menerajui Negeri Sembilan dengan salah satu faktornya, aura yang dimiliki Tok Mat Hasan.

Beliau juga antara pemimpin yang dilihat bersih daripada isu peribadi dan boleh dikatakan personaliti Tok Mat Hasan lebih popular mengatasi Khairy Jamaluddin di peringkat persekutuan.

Menteri besar selama tiga penggal itu kelihatan bersahaja, dengan ‘loghat nogorinya’ menjadikannya tiada tandingan berbanding pemimpin pembangkang.

“Tok Mat begitu dihormati dan disegani bukan sahaja dalam kalangan pemimpin Umno sendiri, bahkan pihak lawan. Beliau juga pemimpin yang boleh dikatakan tiada isu dan merendah diri membuatkan rakyat selesa,” katanya.

Luar bandar kekal kubu kuat BN

Di Negeri Sembilan, 21 daripada 36 kerusi Dun adalah kawasan luar bandar, di mana 8 kerusi itu merupakan kawasan Felda yang majoritinya pengundi kaum Melayu.

Jumlah kerusi luar bandar yang besar itu menyebabkan parti pembangkang yang ingin menguasai Negeri Sembilan perlu berusaha keras.

Sedia maklum, kawasan Felda merupakan kubu kuat BN dan sudah tentu pengaruh BN sukar ditandingi pembangkang.

Penduduknya menganggap hanya BN sahaja yang mampu membela nasib mereka dan menolak sentimen bahawa parti pembangkang dikuasai DAP.

Kegagalan pembangkang menangkis sentimen itu menyebabkan pengundi luar bandar percaya, DAP dan kaum Cina akan menguasai Negeri Sembilan dan Malaysia sekiranya mereka menang pada PRU-14 ini.

Kelemahan pembangkang

Sementara itu, kata Dr Martadha, pembangkang khususnya Pas berdepan kesukaran bagi memenangi sebarang kerusi Negeri Sembilan.

Ini kerana, pada PRU14 kali ini, Pas bergerak tanpa PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (sebelum ini)  menyebabkan Pas kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu.

“Disebabkan Pas bergerak sendiri, maka tiada sokongan bukan Melayu terutama dikawasan majoriti bukan Melayu. Kemungkinan Pas untuk menang itu tipis,” katanya.

Oleh itu katanya, kemungkinan Pas untuk menang adalah dikawasan majoriti Melayu, namun bergantung kepada parti lawan sama ada Harapan meletakkan Bersatu atau Amanah.

Pada PRU13 lalu, Pas gagal memenangi sebarang kerusi Dun dan Parlimen di Negeri Sembilan, antara faktornya adalah pertukaran calon disaat akhir .

Terdahulu Pas Negeri Sembilan yakin tsunami politik Melayu akan berubah dan memihak kepada parti Islam itu dan mengumumkan akan bertanding di 8 kerusi Parlimen serta 29 kerusi Dun pada PRU14.

Selain Pas, gabungan parti Islam itu, (Ikatan) juga akan bertanding di 7 kerusi Dun. – SINAR HARIAN –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here