Isu yang menimpa masyarakat Rohingya hari ini bukan satu isu baru atau berlaku dua atau tiga tahun kebelakangan ini, namun masalah ini telah menghimpit mereka sejak berpuluh-puluh tahun. Pelbagai kisah dan kekejaman kita telah dengar dilakukan oleh tentera negara Myanmar terhadap etnik ini. Malah lebih mengecawakan tidak ada mana-mana negara mengakui Rohingya itu berasal dari negara mereka. Sejarah Rohingya ini juga panjang dan tidak mampu untuk kita ulas dalam ruang yang sedikit seperti ini. Pelbagai bahan bacaan menarik telah disusun dan ditulis oleh pelbagai kelompok termasuk ahli akademik dan golongan politik, namun segala cadangan dan pandangan berkenaan kekal sebegitu dan tidak mampu mengubah nasib mereka.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang bermurah hati dan memberikan perlindungan kepada hampir puluhan ribu etnik Rohingya. Namun sejak akhir-akhir ini timbul perdebatan dalam masyarakat tempatan mengenai kesan sosial yang ditanggung negara akibat dasar terbuka seperti ini. Namun selain Rohingya kita juga terhimpit sebalik faktor kemanusiaan dan pengurusan pelarian. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri bersetuju bahawa berlaku percubaan secara sistematik untuk melaksanakan penghapusan etnik melibatkan Rohingya namun tiada pihak yang mampu menyelesaikan krisis ini.

Membawa masuk pelarian dari negara bergolak bukan suatu hal yang baru, malah Malaysia telah beberapa kali menghulurkan bantuan dalam perkara ini seperti krisis Bosnia Herzegovina pada sekitar tahun 1992 lalu. Namun hal ini berjaya diuruskan dengan baik selepas krisis di negara berkenaan berakhir dan sebahagian besar pelarian ini pulang kembali ke tempat asal mereka. Jelas krisis yang berlaku berbeza dan isu melibatkan Rohingya memerlukan kaedah yang berbeza untuk ditangani.

ASEAN sebagai pertubuhan serantau terpenting dilihat masih buntu dalam menyelesaikan krisis ini dan Myanmar sebagai negara yang sewajarnya bertanggungjawab juga tidak mahu negara-negara lain di rantau ini masuk campur. Walaupun Malaysia telah membuat pelbagai bentuk tindakan diplomatik termasuk memanggil Duta Myanmar ke Malaysia untuk memberikan penjelasan namun jelas segala-galanya seperti sia-sia jika tidak wujud sebarang keinginan di pihak Myanmar untuk mengubah keadaan.

Paling menyedihkan apabila individu yang sering dijulang sebagai pejuang demokrasi dan hak asasi manusia serta pernah dikurniakan Hadiah Nobel Keamanan tidak dapat berbuat apa-apa, malah mengambil pendirian untuk berdiam diri. Jika dulu Aung San Suu Kyi berdiam diri, mungkin ramai yang faham kerana dia juga menghadapi tekanan politik dari pemerintah, namun kini beliau sudah bebas, malah mempunyai kuasa dan pengaruh dalam pentadbiran, tetapi beliau tetap senyap.

Tindakan yang dibuat oleh Suu Kyi ini jelas mengecewakan dan tidak melambangkan dirinya sebagai seorang pejuang hak asasi manusia. Jelas sekali beliau cuma pejuang untuk membebaskan dirinya sahaja dan masih memiliki sikap perkauman yang menebal sehingga sanggup mendiskriminasi hak dan kebebasan masyarakat Rohingya. Suu Kyi sewajarnya merasa malu dengan Hadiah Nobel yang dimilikinya.

Suu Kyi bukan lagi Suu Kyi yang kita kenal sebelum ini, beliau kini bersekongkol dalam percubaan besar-besaran untuk melenyapkan etnik Rohingya. Kemanusiaan tanpa mengira warna kulit dan latar belakang agama serta perkauman bukan perjuangan beliau, kerana selepas mengecap makna kebebasan, beliau dilihat tidak lagi mahu berjuang untuk menyuburkan demokrasi di bumi Myanmar, malah rela melihat pembunuhan beramai-ramai berlaku di negara berkenaan.

Aung San Suu Kyi, tanggalkanlah topi Nobelmu dan bakarlah ia kemudian abunya kau hanyutkanlah di Sungai Irrawaddy supaya manusia seluruh alam dapat melupakan dirimu yang dulu mengaku pejuang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here