Atlet Malaysia

Bulan Julai sebenarnya menyaksikan bidang sukan di Malaysia mencatatkan pelbagai kenangan manis khasnya dunia olahraga negara. Di waktu Malaysia bakal menganjurkan Sukan SEA tidak lama lagi, sukan olahraga mula memberi sinar lebih utama untuk Malaysia mengukuhkan kedudukan bagi mencatat prestasi bermakna sebagai tuan rumah nanti.

Lebih menarik perhatian beberapa atlet paralimpik Malaysia dijangka bersaing dengan atlet normal dalam pentas olahraga Sukan SEA nanti dan Malaysia bakal mencipta sejarah tersendiri nanti. Prestasi atlet olahraga paralimpik Malaysia pada ketika ini jelas berada pada tahap yang membanggakan apabila semasa Kejohanan Paralimpik Dunia baru-baru ini melihatkan Muhammad Ziyad Zolkefli berjaya mencatatkan rekod baru dunia dalam acara lontar peluru lelaki kategori F20. Ziyad berjaya memperharui catatan dengan lontaran sejauh 17.29 meter.

Seorang lagi prospek utama negara, Abdul Latif Romly turut berjaya memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh kategori T20. Latif berjaya melakukan lompatan sejauh 7.37 meter. Selain itu jaguh pecut paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pula berjaya memenangi pingat perak untuk acara 100 meter kategori T36 dengan mencatatkan masa 12.15 saat. Walaupun gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Doha, Qatar dua tahun lalu, Ridzuan dilihat masih kekal konsisten dan berjaya mengharumkan nama negara.

Sementara itu, Khairul Hafiz Jantan pula berjaya memecahkan rekod acara pecut 200 meter berusia 49 tahun yang dipegang legenda olahraga negara, Tan Sri Dr. M Jegathesan apabila mencatatkan 20.90 saat. Pada tahun 1968 ketika Sukan Olimpik di Mexico Jegathesan mencatatkan 20.92 saat. Catatan yang dibuat Hafiz itu mengesahkan beliau kini berada di landasan terbaik untuk menyumbang pingat emas bagi Malaysia di Sukan SEA nanti.

Selain olahraga, acara terjun juga melihatkan pencapaian luar biasa apabila Cheong Jun Hoong berjaya memenangi emas acara terjun 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary. Lebih membanggakan Jun Hoong berjaya memecahkan dominasi China dalam acara berkenaan dan ini merupakan kali pertama Malaysia memenangi emas sepanjang sejarah penyertaan di kejohanan itu.

Namun begitu, disebalik kejayaan cemerlang yang berlaku dalam arena sukan negara, Malaysia seperti tidak mengambil peduli tentang hal ini dan kita lihat isu-isu politik dilihat terus mendominasi media utama di negara ini. Lebih menyedihkan, isu-isu politik yang diberi tumpuan pula lebih kepada bersifat menyerang dan membunuh karakter di kedua-dua pihak sama ada pembangkang atau kerajaan.

Sukan sepatutnya menjadi alat perpaduan yang boleh menggalakkan untuk kita melupakan sengketa dan meraikan kejayaan yang muncul, namun kita lebih rela membincangkan pengaruh Tun Dr. Mahathir secara besar-besaran dan memberikan publisiti percuma kepada beliau, berbanding kita memberikan peluang kepada Jun Hoong, Hafiz,Latif, Ziyad atau Ridzuan untuk muncul di muka hadapan akhbar.

Nampaknya kita masih gagal untuk membezakan di antara hal-hal yang penting dan hal-hal yang remeh. Kejayaan atlet-atlet ini sewajarnya diperkatakan untuk tempoh yang lama berbanding tokoh-tokoh politik yang ada di antara mereka sudah tidak relevan lagi dalam negara ini. Sumbangan atlet negara wajar diberikan perhatian dan isu-isu politik yang remeh boleh dibincangkan dalam masa yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here