KECOH seketika negara sepanjang minggu lalu berikutan tindakan Kelab Republik Ateis Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Atheist Republic Club) mengadakan perjumpaan tahunan mereka yang akhirnya tular di media sosial.

Yang mengejutkan bukanlah perjumpaan tersebut kerana kita yakin jumlah Ateis di Malaysia bukanlah sedikit walaupun mereka ini enggan mengaku.

Apa yang mengejutkan dan membangkitkan kemarahan ramai orang Islam adalah terdapat sekumpulan orang Melayu yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut. Dan Melayu yang hadir itu merupakan Melayu Islam.

Sekadar hadir meraikan perjumpaan itu sudah pun dianggap melampau, apa lagi jika mereka ini sebenarnya turut menganggotai pertubuhan tersebut.

Atheist Republic mungkin kedengaran agak baharu bagi sebahagian rakyat Malaysia, namun kelab ini sudah pun mempunyai jutaan pengikut dan penyokong di seluruh dunia dengan jumlah terbesar di rantau ini tertumpu di Indonesia dan Filipina.

Tindakan Kerajaan Tepat Dan Terpuji

Justeru, tindakan kerajaan melalui seruan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki agar Melayu ini diburu dan dakwaan ini disiasat merupakan tindakan yang sangat tepat biarpun terdapat segelintir pejuang-pejuang hak asasi kemanusiaan kononnya mendakwa tindakan seumpama itu melanggar hak asasi manusia, lantas mula melabelkan Malaysia dengan label-label yang negatif dan penuh prejudis.

Negara ini negara beragama. Justeru, suara-suara skeptik sebegitu usah kita pedulikan. Islam adalah merupakan agama rasmi persekutuan dan perkara itu secara jelas dan terang menuntut kepada pembanterasan sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk memesongkan akidah umat Islam.

Masyarakat Islam perlu beringat, jika ancaman sebegini tidak ditangani, ia bakal memberikan kesan yang terus terhadap kestabilan negara dan perpecahan ummah yang telah pun kita lihat semakin hari semakin membimbangkan.

Ateisme Dan Fakta Yang Membimbangkan

Satu dapatan yang begitu membimbangkan telah dikongsikan oleh WIN-Gallup International melalui penyelidikan mereka Global Index of Religiosity and Atheism 2012 telah menggambarkan betapa sudah ramai rakyat di beberapa negara Islam yang dianggap konservatif dan kuat pegangan agama berani mengakui bahawa mereka memang Ateis.

Walaupun pada ketika penyelidikan ini dibuat, tiada yang mengaku Ateis di Malaysia, namun satu lagi fakta menarik yang ditampilkan adalah bagaimana penganut Islam dan Hindu boleh membentuk peratusan tertinggi dalam kalangan mereka yang mengaku Ateis.

Kajian ini juga mendedahkan bahawa Ateisme begitu mendapat tempat dan meningkat anutannya dalam kalangan mereka yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi. Kedua-dua kriteria ini juga membayangkan secara kasar bahawa mereka yang terlibat berkemungkinan mempunyai pengaruh dan peranan penting dalam persekitaran kehidupan mereka.

Apa Yang Boleh Kita Buat?

Lalu, bagaimana kerajaan dan masyarakat Islam secara amnya boleh menyumbang terhadap usaha pemulihan dan pemantapan akidah dalam kalangan mereka yang terlibat?

Sesuai dengan status Islam sebagai agama rasmi negara, kerajaan seperti yang kita maklumi telah pun melaksanakan pelbagai program bagi mengukuhkan pegangan akidah umat Islam sejak dari bangku sekolah lagi. Malah, nilai-nilai Islam terus diterapkan di peringkat pengajian tinggi bagi melestarikan pegangan agama anak-anak muda Islam melalui program-program dan kelas-kelas yang dianjurkan oleh jabatan dan agensi agama yang saling berhubung bagi tujuan ini.

Biarpun di sana sudah pun ada peruntukan bagi mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dengan Ateisme, program pemulihan melalui aktiviti pendidikan dan penerangan perlu menjadi keutamaan bagi mengembalikan semula akidah mereka yang terpesong.

Pendakwah dan penguasa agama khususnya perlu membedah mengapa fenomena sebegini wujud. Adakah golongan ini kecewa dan hampa terhadap persekitaran yang gagal memberikan jawapan yang tuntas terhadap segala persoalan yang dibangkitkan mereka?

Atau apakah mereka sebenarnya mempunyai pengetahuan yang pada asalnya baik mengenai agama tetapi akhirnya cenderung untuk menafsirkan pengetahuan tersebut melalui kerangka pemikiran sempit yang didorong doktrin liberal dan sekular?

Ateisme Dan Neo-Kolonialisme

Ateisme, seperti fahaman-fahaman dan ideologi-ideologi menyimpang yang lain, hanyalah satu daripada banyak anasir negatif tajaan Barat bagi meruntuhkan keutuhan dan ketamadunan Islam. Proses ini bukan sesuatu yang baharu, malah ia sudah bermula sejak ratusan tahun yang lalu ketika empayar Islam menunggu masa untuk jatuh.

Melihat kepada perkembangan semasa mutakhir ini, Ateisme boleh sahaja dikembangkan dengan mudah melalui pergerakan manusia tanpa batas selain didorong oleh pengaruh propaganda anti-Islam yang begitu menular di Eropah.

Selari dengan arus kemajuan teknologi dan proses globalisasi yang tiada henti, pemikiran bahaya seumpama ini perlu dibendung agar masyarakat Islam di Malaysia khususnya tidak leka dengan segala bentuk ancaman yang boleh dizahirkan oleh apa yang dipanggil sebagai penjajahan bentuk baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here