PERBAHASAN di Dewan Rakyat minggu lalu mengenai isu ateisme di Malaysia nampaknya sudah merebak sehinggakan perkara itu dilihat turut dibincangkan orang ramai daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum. Biarpun isu itu pernah dibicarakan beberapa bulan dahulu berikutan munculnya gerakan ateisme seperti Atheist Republic, namun ianya kembali hangat apabila Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dusuki menyatakan bahawa fahaman tidak bertuhan itu secara terang-terangan menyalahi perlembagaan negara.

Ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah mengenai sejauh mana gejala ateis telah berkembang di Malaysia dan apakah langkah yang diambil kerajaan untuk menanganinya, Asyraf berkata fahaman itu jelas melanggar undang-undang kerana kebebasan beragama yang dijanjikan perlembagaan tidak bermakna kebebasan untuk tidak beragama. Katanya lagi, rukunegara yang pertama – kepercayaan kepada Tuhan – menjadi satu manifestasi bahawa atisme tidak boleh diterima di negara ini.

Menganut Ateisme Satu Hak?

Ada yang bersetuju dengan kenyataan Asyraf, dan tidak kurang juga yang nampaknya membantah dan menyanggah jawapan beliau. Beberapa pengamal undang-undang termasuklah yang beragama Islam turut tidak terkecuali memberikan komen dan respon mereka mengenai isu ini. Peguam hak asasi Syahredzan Johan umpamanya menekankan bahawa hak seseorang untuk menganut ateisme sebenarnya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tambahnya lagi, perlembagaan juga tidak menggariskan sebarang akta dan peruntukan yang menghalang penyebaran fahaman itu. Syahredzan memetik Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak ataupun kebebasan seseorang individu untuk beragama, yang katanya, turut merangkumi kebebasan untuk tidak beragama.

Walaupun Syahredzan dan sesetengah kelompok peguam yang lain tidak bersetuju dengan jawapan Asyraf dalam isu ini, pendirian dan hujah yang mereka keluarkan sedikit sebanyak ada benarnya. Mereka betul apabila mengatakan bahawa semua rakyat mempunyai hak dan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Mereka juga tidak salah apabila menyatakan bahawa perlembagaan tidak mempunyai sebarang peruntukan khusus yang menegah penyebaran ateisme dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan vs Hak Asasi Manusia

Namun, hakikatnya Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut dan menjamin kebebasan beragama. Tidak ada dalam mana-mana peruntukan perlembagaan yang menjamin kebebasan untuk tidak beragama. Samada rakyat sedar atau tidak, kebebasan untuk beragama di negara ini juga perlu dilihat dari kaca mata Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Dalam konteks tersebut, prinsip-prinsip yang ada dalam Islam tidak pernah menafikan hak setiap individu dan rakyat di negara ini untuk mengamalkan kepercayaan mereka. Berbeza dengan ateisme, fahaman itu ternyata melanggar sistem perundangan negara kerana ianya bukanlah satu agama yang diiktiraf perlembagaan.

Jika di sana terdapat golongan yang mempertahankan ateisme sebagai satu bentuk kebebasan untuk tidak beragama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, ya kita akui perkara tersebut memandangkan ia sememangnya termaktub dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948. Tetapi, kita sedang bercakap mengenai fahaman itu di Malaysia, dan adalah penting untuk semua rakyat tahu dan faham bahawa peruntukan seperti yang termaktub dalam deklarasi itu tidak pun ada dalam perlembagaan negara.

Justeru, apa jua fahaman dan agama yang diamalkan di Malaysia seharusnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada. Perlembagaan juga secara jelas menegah sebarang perbuatan menyebarkan agama dan fahaman lain kepada orang Islam. Sudah jelas lagi bersuluh, walaupun perlembagaan tidak menyebut penyebaran ateisme secara khusus, hakikatnya menghasut orang ramai untuk meninggalkan agama ataupun mengaku tidak mempunyai agama adalah satu kesalahan serius di sisi perlembagaan. Kebebasan beragama di Malaysia, seperti yang disebutkan beberapa kelompok pengamal undang-undang dan indidvidu-individu lain, sebenarnya perlu dibaca bersama dengan peruntukan yang melarang penyebaran agama lain dalam kalangan umat Islam.

Ancaman Ateisme Kepada Negara

Bahaya yang mampu dihadirkan ateisme ini tidak wajar dibincangkan daripada perspektif Islam semata-mata, bahkan ianya adalah satu unsur yang berpotensi menggugat keutuhan agama yang lain juga sekiranya ianya tidak dipantau dan disekat. Fahaman tidak bertuhan sekaligus bermakna tiadanya kod etika rohani yang dipegang dan dipatuhi oleh penganut-penganut ateis, sekaligus membayangkan ancaman yang serius terhadap ketenteraman awam dan moral di negara ini. Kita tentunya tidak mahu kerapuhan moral yang sudah banyak disaksikan di Malaysia diburukkan lagi dengan gejala ateisme yang membimbangkan ini.

Satu kajian yang dibuat pada 2014 oleh WIN-Gallup International ke atas 500 orang responden mendedahkan bahawa tiga peratus rakyat Malaysia mengaku sebagai ateis manakala 20 peratus pula mengaku tidak beragama. Itu dapatan kajian pada 2014. Tiga tahun sudah , kita tidak pasti apakah statistik sebenar yang ada pada hari ini. Apa pun, kerajaan dan setiap rakyat perlu berasa bimbang dengan penularan fahaman ini yang tentunya semakin lama semakin ramai penganutnya. Maka, perhatian serius dan tindakan yang lebih afirmatif perlu diambil semua pihak khususnya pemerintah negara agar ancaman ateisme ini dapat dibendung dan dikawal.

Sudah tentu dengan pendirian tegas kerajaan mengenai isu ini, banyaklah suara-suara yang akan terus mengkritik dan melabelkan Malaysia sebagai negara Taliban. Namun, wajarlah kerajaan dan semua rakyat yang prihatin memekakkan telinga terhadap suara-suara sebegitu kerana apa pun yang berlaku, kestabilan hubungan antara penganut pelbagai agama dan rakyat pelbagai kaum dalam sistem sosial negara tetaplah menjadi keutamaan. Tambahan pula, Malaysia ini negara berpelembagaan. Ada undang-undang yang perlu kita semua pegang dan patuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here