Asmidar wajah baru ‘Junaidah’. Teater P Ramlee The Musical berjaya mendapat sambutan ramai di tiga buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Sarawak dan Sinapura. Kini Enfiniti Vision Media kembali dengan siri jelajah ke tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang Johor dan Melaka dengan menampilkan Asmidar sebagai ‘Junaidah: menggantikan Lisa Surihani yang sedang sarat mengandung.

 

Selaku penerbit, Datin Seri Tiara Jacquelina menjelaskan, pihaknya tidak sabar untuk memberikan yang terbaik bagi pementasan kali ini, sekali gus membawa status seni persembahan tanah air ke satu tahap yang lebih tinggi.

Kehebatan dan keunggulan teater tersebut tidak perlu dipertikai lagi sementelah pernah memenangi lapan anugerah pada penganjuran Anugerah Seni Boh Cameronian.

“Saya gembira kerana pementasan ini bukan saja menarik perhatian peminat teater tempatan, ia juga berjaya mencuri perhatian dan mendapat pengiktirafan orang luar. Saya turut difahamkan bahawa teater yang kami hasilkan berjaya menyumbang sesuatu dalam bidang pelancongan negara apabila ramai pelancong tertarik untuk menyaksikan teater ini.

“Melalui teater ini, kami mahu meraikan kehidupan luar biasa seorang seniman legenda yang telah berjaya membentuk serta mewujudkan cabang hiburan khususnya dalam rumpun Melayu,” ujarnya.

Tambah menarik, teka-teki siapakah yang bakal menggalas tanggungjawab membawa watak Junaidah bagi siri jelajah kali ini menggantikan Lisa Surihani yang tidak boleh memberi komitmen kerana hamil, akhirnya terjawab.

Ternyata, juara program realiti televisyen, Vokal Bukan Sekadar Rupa 2011, Asmidar memberi jawapan kepada teka-teki tersebut apabila dipilih memegang watak Junaidah.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melakonkan watak ini (Junaidah). Jujur saya katakan banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama dari segi tarian yang memang bukan kepakaran saya. Namun, saya akan cuba untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan kepada saya ini.

“Banyak yang telah saya pelajari menerusi pementasan ini. Teater ini bukan calang-calang. Ia tentang seniman agung kita. Jadi, saya banyak membuat kajian supaya tidak nampak kekok ketika berada di atas pentas. Kru produksi juga banyak membantu saya untuk menghayati watak,” ujar Asmidar.

Dia juga mengakui terdapat banyak perbezaan berlakon teater dengan melakukan persembahan (menyanyi) di atas pentas.

“Ia sangat baharu bagi saya. Tambah lagi, sebelum ini watak Junaidah dibawa oleh nama-nama besar dalam industri. Hal ini membuatkan saya berasa bersemangat dan juga gementar pada masa yang sama,” tuturnya yang mempunyai diploma dalam bidang muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

02_HIBURAN_170815_Asmidar pengganti Lisa Surihani1
(Dari kiri) Datuk Aznil Haji Nawawi, Asmidar dan pengarah teater, Pat Ibrahim optimis pementasan PRTM kali ini akan mendapat sambutan yang memberangsangkan seperti pementasan sebelum ini.

Dalam pada itu, Pat Ibrahim yang sekali lagi diberi kepercayaan mengarahkan muzikal berkenaan turut menyambut baik kehadiran Asmidar sebagai muka baharu menjayakan pementasan kali.

Teruja dengan kemunculan semula karya kebanggaannya itu, Pat turut membocorkan sedikit cerita tentang kelainan dan keunikan pementasan kali ini.

“Selain daripada gemersik vokal Asmidar yang sangat cemerlang, saya yakin dengan keupayaan dia dalam melaksanakan tugasan sebagai Junaidah.

“Walaupun dia seorang yang introvert (tidak bercakap banyak), kami yakin dia adalah orang tepat untuk menggantikan Lisa, sekali gus memberikan definisi baharu kepada watak tersebut.

“Untuk pementasan kali ini, kami telah membuat beberapa pembaharuan seperti dari segi olahan skrip dan lagu. Watak D’harris juga akan diberi tumpuan yang lebih berbanding dengan pementasan sebelum ini,” ujar Pat.

Bagi Datuk Aznil Haji Nawawi sendiri yang sekali lagi dipertanggungjawabkan memegang watak D’harris, berasa teruja untuk pementasan kali ini yang memberi peluang kepada dirinya menonjolkan watak tersebut kepada umum.

“Terus terang saya katakan pada pementasan lalu, banyak perkara yang ingin saya perbaiki terutama watak D’harris yang secara fizikalnya telah silap saya gambarkan.

“Saya akui sebelum ini saya agak berisi sikit dari segi fizikal dan D’harris secara realitinya bukan sebegitu. Jadi, untuk pementasan kali ini saya rasa keadaan fizikal saya lebih tersedia dan menepati watak tersebut,” ujar Aznil.

Menggunakan judul Dari Penang Ke Singapura, jelajah P. Ramlee The Musical seperti menelusuri semula kembara P. Ramlee dari Pulau Pinang dan kemudiannya mencipta nama di Singapura.

Pementasan teater tersebut akan menemui penonton di Dewan Sri Penang, Georgetown, Pulau Pinang pada 28 Ogos hingga 30 Ogos, Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Nusajaya, Johor Bahru (3-6 September) dan Melaka (11-13 September).

Untuk pembelian tiket, ia boleh didapati pada harga bermula RM83, RM103, RM153 dan RM203 di www.ticketpro.com.my atau hubung talian 03-6142 9877. – MOHD. HAIKAL ISA

SUMBER: KOSMO ONLINE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here