ADAKAH Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diwujudkan untuk mencetuskan kekecohan dan provokasi?

Apa sebenarnya matlamat sayap PPBM itu ditubuhkan termasuk telah melantik barisan kepimpinannya sebelum ini?

Semakan menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Armada langsung tidak wujud dalam Perlembagaan PPBM sebagai sayap parti pembangkang berkenaan.

Bekas exco Armada PPBM, Mohamad Taufik Abas memaklumkan, Perlembagaan PPBM hanya menyatakan mengenai penubuhan sayap pemuda, wanita dan srikandi.

Jadi, adakah Armada telah memperdaya semua ahli PPBM terutamanya anak-anak muda dan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku?

Adakah kewujudan Armada PPBM hanya satu penipuan? Mereka memberi ahlinya semangat untuk bekerja sedangkan sayap PPBM itu sebenarnya tidak wujud.

Untuk apa mereka bekerja selama ini?

Adakah benar tujuannya untuk mencetuskan provokasi dan kekecohan dalam arena politik negara?

Ambil contoh kejadian yang mana pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menghala serangan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO apabila tercetusnya kekecohan di forum Nothing To Hide anjuran Armada PPBM sebelum ini.

Mereka cuba menggambarkan seolah-olah kekecohan yang tercetus sudah dirancang bagi memburukkan Pakatan Harapan.

Tetapi soalnya siapa yang menghadiri forum tersebut dan siapa yang menganjurkannya?

Bukankah yang hadir itu terdiri daripada ahli-ahli Armada sendiri?

Bukankah sebelum ini di dalam sayap PPBM itu sememangnya sudah wujud perasaan tidak puas hati kepada kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti tersebut?

Jadi, siapa sebenarnya yang mewujudkan kekecohan, bukankah puncanya Armada sendiri?

Salah satu kehebatan pemimpin- pemimpin pembangkang ialah keupayaan mereka melakukan sandiwara politik.

Sandiwa yang diwujudkan itu kalau pun tidak mampu mempengaruhi, sekurang-kurangnya boleh mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat.

Sebagai contoh sebelum ini, seorang pe­mimpin muda Pakatan Harapan mendakwa cuba disogok hampir RM5 juta untuk meninggalkan pakatan tersebut.

Pastinya semua orang tahu siapa anak muda yang dimaksudkan itu.

Hebat sekali nilainya, baru setahun jagung dalam politik sudah berharga RM5 juta.

Tidak juga diketahui siapalah in­dividu yang begitu bodoh ma­hu membuat tawaran sebanyak itu kepada pemuda berkenaan.

Adakah dakwaan itu sengaja dicetuskan oleh Armada PPBM di sebalik pelbagai kemelut yang melanda PPBM?

Jika dilihat sebelum ini, Armada PPBM turut dibelenggu pelbagai kemelut dalaman dengan ramai ahlinya keluar dan dipecat daripada sayap parti berkenaan.

Dalam isu Armada PPBM ini, jika tiada angin pokok pasti tidak akan bergoyang.

Sudah tentu, wujud masalah dalam sayap PPBM itu sehingga kita menyaksikan pelbagai kemelut berlaku termasuk pendedahan bahawa Armada PPBM tidak wujud dalam perlembagaan parti tersebut.

Bukan orang luar, tetapi bekas ahlinya sendiri yang membuat pendedahan itu.

Adakah Armada PPBM akan menuduh bekas ahlinya itu dibayar untuk bercakap dan membuat pendedahan itu?

Perkara ini tidak mustahil kerana umum mengenali Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kepada anak muda, berhati-hatilah dan jangan terpedaya dengan Armada PPBM.

Jangan mudah terjerat dengan muslihat mereka!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here