Mohd Arif Latif yang mewakili negara pada saingan Piala Thomas bulan lalu kecewa selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan menamatkan khidmatnya bersama rakan gandingan, Azriyn Ayub meskipun masih di dalam tempoh percubaan.

Arif dan Azriyn terpilih ke dalam skuad kebangsaan sehingga Julai selepas mereka memohon kepada badan induk itu untuk membenarkan beraksi di kejohanan lebih tinggi.

BAM kemudian mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada mereka serta seorang lagi pemain profesional, Lim Khim Wah membuktikan kemampuan mereka dalam acara beregu.

Arif kemudian terpilih beraksi bersama skuad kebangsaan di saingan Piala Thomas di Bangkok bulan lalu, meskipun hanya selepas seminggu menyertai BAM.

Menerusi akaun sosial Instagram miliknya, bekas pemain perseorangan kebangsaan itu berkata: “Hari ini Azriyn dan saya menerima berita buruk dari BAM apabila mereka mahu kami meninggalkan pasukan.

“Ini tidak adil kerana kami sudah mengadakan perjanjian bersama penaja bagi membolehkan kami terus berada dalam badan induk ini.

“Kami diminta untuk meninggalkan skuad kebangsaan tetapi tempoh percubaan hanya akan berakhir pada Julai.

“Apa yang BAM sudah lakukan kepada kami sepanjang tempoh ini? Kami tidak beraksi di sebarang kejohanan, jadi bagaimana kami mahu membuktikan kemampuan kami?

“Kalau kami tahu ia akan menjadi seperti ini, sudah pasti kami tidak akan menyertai skuad kebangsaan,” kata Arif yang meletakkan kesalahan kepada ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit dengan mendakwa berlaku sikap pilih kasih.

Menerusi status sama yang sudah dipadam, Arif menambah: “Saya tidak menyalahkan BAM sepenuhnya tetapi ketua jurulatih yang tidak adil.

“Bukan saja kami, malah pemain seperti Ameer (Amri) Zainuddin yang memberikan komitmen 100 peratus ketika sesi latihan juga tidak diberi sebarang peluang untuk beraksi di kejohanan tertentu.

“Hanya pemain yang rapat dengan ketua jurulatih masih kekal di dalam pasukan,” katanya.

— Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here