ISU Islamisasi dan hubungan kaum di Malaysia nampaknya akan terus diperkatakan dan diperdebatkan untuk jangka masa yang panjang. Baru sahaja minggu yang lalu kita ‘dipertontonkan’ dengan perbahasan banyak pihak mengenai penyebaran ateism di Malaysia. Minggu ini kita ‘disajikan’ pula dengan rasa tidak puas hati segelintir pihak mengenai arahan pengurusan sebuah pejabat pendidikan yang mewajibkan murid-murid yang beragama Islam untuk menunaikan solat fardhu berjemaah di surau sebelum mereka pulang setelah sesi persekolahan tamat.

Lebih tepat, respon yang dimaksudkan ini adalah satu bantahan pihak-pihak berkenaan terhadap arahan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar yang mewajibkan semua sekolah kebangsaan di daerah itu mengadakan solat fardhu berjemaah sebelum kesemua pelajar dan murid pulang ke rumah. Arahan itu dikatakan dikeluarkan sebagai satu langkah untuk memperkukuhkan ketahanan diri para pelajar dan murid yang berkenaan.

Solat Sebagai Pendinding

Sebagai seorang Muslim yang menyedari betapa krisis kehidupan sosial masyarakat hari ini sangat membimbangkan, langkah dan arahan seumpama itu wajarlah kita puji. Solat tentunya asas yang paling utama untuk membina jati diri dan akhlak seseorang, dan ianya berfungsi menghindarkan seseorang individu itu terjerumus ke dalam kancah aktiviti-aktiviti yang keji di sisi agama. Justifikasi yang diberikan Razali dalam hal ini iaitu bagi membina karektor warga sekolah khususnya murid untuk mencegah perkara negatif dalam dunia yang kian mencabar memang benar dan sangat tepat pada masanya.

Kenapa Melayu Sendiri Yang Menentang?

Apa yang menyedihkan, tatkala kita melihat langkah dan arahan ini sebagai sesuatu yang positif, tiba-tiba di sana telah bangkit suara-suara Melayu mempertikaikan kewajaran langkah tersebut. Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim umpamanya menjadi antara individu Melayu yang paling awal bersuara dalam hal ini. Katanya, adalah penting bagi pengetua dan guru besar untuk memastikan semangat kebangsaan dikekalkan di sekolah kebangsaan. Ujarnya lagi, ibu bapa dengan anak yang berminat dengan agama boleh menghantar mereka ke sekolah agama atau tahfiz kerana ia lebih khusus.

Memang mengecewakan apabila mendengar dan membaca sendiri komen beliau. Kita ingin tahu siapa sebenarnya Azimah ini, dan apa pula agenda yang cuba diketengahkan beliau apabila mengeluarkan komentar yang sebegitu? Apa pula hak beliau untuk mempertikaikan langkah atau arahan yang hanya bertujuan untuk membudayakan cara hidup Islam dalam kalangan murid ataupun pelajar Islam itu sendiri?

Keadaan bertambah malang apabila kita melihat komentar yang tidak wajar seumpama itu turut keluar daripada mulut ahli-ahli politik Melayu yang beragama Islam. Bekas timbalan menteri pendidikan tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga merupakan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) pula menjadi antara individu yang dilihat bertindak melulu dalam hal ini apabila meminta Jabatan Pendidikan Negeri Pahang segera menyiasat kesan peraturan itu kepada sekolah-sekolah di Kuantan. Katanya, siasatan itu perlu bagi mengkaji jika peraturan tersebut mendorong lebih ramai ibu bapa India, Cina dan sesetengah ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah lain.

Bahana Pemikiran Sekular

Begitulah rosaknya pemahaman individu-individu sebegini yang pemikiran mereka nampaknya begitu hebat mewakili aliran liberal dan sekular. Soal ibu bapa bukan Melayu ataupun bukan Islam mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah lain tidaklah wajar dibimbangkan. Jika mereka merasakan sekolah kebangsaan seolah-olah sudah menjadi sebuah sekolah agama hanya kerana murid-murid Islam diwajibkan menunaikan kewajipan mereka, maka itu terserah. Mereka sendiri yang memilih mengasingkan diri. Mereka jugalah yang sendiri memutuskan untuk menjarakkan lagi hubungan antara kaum yang sedia renggang kini. Tetapi jika sentimen seperti itu turut dikongsi oleh sebilangan ibu bapa Melayu Islam, maka ianya jelas menunjukkan bagaimana kelompok Melayu sebegini sudah terhasut dan termakan dengan agenda sekular dan liberal yang sekian lama mahu memisahkan agama daripada kehidupan orang Islam.

Jangan Gentar, Jangan Tunduk

Atas objektif dan misi membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin, berakhlak mulia dan berpegang dengan nilai-nilai agama, maka kita mengharapkan agar kerajaan, agensi-agensi dan jabatan-jabatan berkaitan terus teguh pendirian mereka dan tidak mudah tunduk kepada tekanan-tekanan seperti ini. Usah sesekali goyah dan luntur semangat. Agenda sekular dan liberal yang tidak henti-henti menyerang kehidupan masyarakat Islam sekarang ini perlulah ditepis dan ditentang. Jika langkah semurni itu ditarik balik, itu bermakna kerajaan pimpinan orang Islam yang ada pada hari ini seolah-olah boleh dicucuk hidungnya.

Nafas kita sudah cukup ‘sesak’ dengan pelbagai gejala sosial dan budaya kuning yang semakin berleluasa. Justeru, tentu sahaja kita tidak mahu ketamadunan masyarakat Islam di negara ini terus terhakis dan akhirnya diruntuhkan pada satu hari nanti. Bagi orang bukan Islam, mereka tidaklah perlu berlebih-lebihan dalam memberikan reaksi negatif terhadap soal tuntutan kewajipan seorang individu Muslim yang tidak ada kena mengena pun dengan kehidupan mereka. Bagi orang Islam pula, mereka wajar sekali melihat peraturan sebegini sebagai satu langkah ke hadapan dalam membentuk pelajar dan belia yang hidupnya berprinsip dan beragama. Akhirnya, kelompok pelajar dan pemuda seperti inilah yang akan kita bentuk menjadi pemimpin satu hari nanti. Masakan kita mahu pemimpin yang agamanya ‘hilang’?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here