Stadium Shah Alam malam tadi yang menyaksikan skuad Harimau Malaya gagal bertahan lama walaupun berjaya mendahului pasukan yang menduduki ranking ke-93 dunia, Arab Saudi 1-0 pada minit ke-70 menerusi jaringan kapten Safiq Rahim pada aksi keempat peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Jaringan tersebut pantas dipadam oleh Taiseer Al Jassam pada minit ke-73 dan Al Sahlawi (m-76).

Pada awal perlawanan, rentak kedua-dua pasukan nampak seimbang, namun ia berubah pada separuh masa kedua selepas Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-169 dunia berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-70.

Gol tersebut telah mengubah rentak permainan Arab Saudi yang tampil lebih pantas melancarkan serangan dan dalam masa tiga minit mereka berjaya menghasilkan dua gol, sekali gus memadam kelebihan yang dimiliki skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

Berbanding aksi menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi Khamis lalu, aksi skuad negara pada perlawanan menentang Arab Saudi dilihat lebih teratur dan corak pertahanan juga nampak mantap.

Namun, kesilapan kecil pada hujung perlawanan telah membawa padah sehingga menyaksikan mereka bolos dua kali.

Begitupun, perlawanan tersebut terpaksa dihentikan pada minit ke-88 ekoran tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penyokong Malaysia yang mula membaling suar serta membakar mercun di dalam stadium.

Pemain kedua-dua pasukan telah diarah oleh jurulatih masing-masing untuk masuk ke bilik persalinan bagi menyelamatkan diri daripada terkena mercun.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berada di stadium menyaksikan perlawanan tersebut menjelaskan bahawa kawalan keselamatan sangat mengecewakan dan suar terlalu mudah dibawa masuk oleh segelintir penyokong.

Sumber : Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here