Kerajaan Arab Saudi akan melancarkan program Perkhidmatan Tetamu Allah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu ini, sebagai inisiatif memudahkan prosedur jemaah negara yang akan menunaikan ibadah haji.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia dalam satu kenyataan berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia, adalah inisiatif yang dicadangkan kerajaan Penjaga Dua Masjid Suci menerusi Wawasan Arab Saudi 2030.

“Satu pasukan dibentuk membabitkan pihak berkuasa Malaysia dan Arab Saudi dan mereka ditugaskan untuk melengkapkan semua prosedur termasuk cap jari dan urusan pasport di KLIA.

“Prosedur ketibaan dan bagasi akan diuruskan di Malaysia, manakala jemaah diberi pintu kemasukan khas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.

“Jemaah akan bergerak terus ke kediaman mereka kerana semua prosedur kemasukan ke tanah Arab Saudi sudah diselesaikan di KLIA, termasuk prosedur bagasi yang akan dihantar terus ke kediaman mereka,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, program terbabit sudah diuji ke atas jemaah Malaysia pada musim haji lalu dengan fasa pertama membabitkan dua penerbangan membawa 75 jemaah, manakala fasa kedua membabitkan lima penerbangan membawa 1,600 jemaah.

Katanya, kejayaan program itu pada tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia.

“Kedutaan Besar Arab Saudi mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia yang menyediakan semua kemudahan kepada pasukan Arab Saudi untuk menjayakan inisiatif berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here