PAS tidak menarik kepada ramai pengundi muda kerana ia tidak sepadan dengan “keperluan” mereka,penyelidik PAS Dr Mazlan Ali.

Dari perspektif beliau, masyarakat hanya melihat PAS tidak berperanan sebagai pembangkang yang berkesan kerana kurang mengkritik polisi kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dalam ilmu sains politik, pengundi muda dikategorikan sebagai ‘participant’ iaitu satu kumpulan yang membuat pilihan politik berdasarkan isu, bukan parti politik.

“Lebih dari 85% sumber maklumat politik yang diperoleh pengundi muda adalah melalui media sosial dan biasanya mereka menganalisis isu di sekeliling mereka yang menyentuh kehidupan mereka.

“Mereka bertindak seperti ‘pengguna politik’, dan akan menilai tawaran yang lebih menguntungkan dibuat oleh parti-parti politik.

“Pada hari ini, masyarakat berdepan dengan tekanan kos kehidupan seperti kenaikan harga barang, petrol dan pengenalan kerajaan sejenis cukai regresif (GST) yang agak membebankan pengguna.

“Golongan pengundi muda adalah kumpulan paling teruk terjejas terutama yang berumur antara 25-35 tahun kerana beban saraan keluarga, pekerjaan yang sukar dan peluang ekonomi kurang,” kata Mazlan.

Sehubungan itu, katanya pengundi muda tidak mempunyai sebab yang kukuh untuk menyokong PAS kerana melihat parti ini bukan suatu pilihan alternatif menggantikan BN.

“Sama juga pengundi muda kurang tertarik dengan manifesto BN, kerana sebagai pemerintah, persepsi mereka berfikir bahawa masalah tekanan kos kehidupan yang dihadapi sekarang disebabkan kegagalan polisi kerajaan hari ini,” katanya.-MI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here