ECRL

SALAHKAH untuk kerajaan melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)?

Jika tidak, kenapa terdapat usaha seolah-olah mencari salah kerajaan dalam melaksanakan projek itu?

Umum mengetahui projek berimpak tinggi itu adalah kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China.

Pada November 2016, Malaysia dan China dilaporkan bersetuju menandatangani rangka kerja pembiayaan, kejurute­raan dan perolehan untuk kontrak pembinaan ECRL yang dianggarkan bernilai RM55 bilion.

Pembinaan ECRL akan menyediakan landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Gombak, Se­langor; Gombak ke Kuantan, Pahang seterusnya hingga ke Tumpat, Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2024.

Kesan limpahan ECRL adalah sangat besar dan penting bagi pembangunan infrastruktur di kawasan Pantai Timur Semenanjung, terutama kejuruteraan laut, rumah mampu milik serta penyelenggaraan jalan raya.

Tetapi malangnya, ada pihak yang mempertikai majlis pecah tanah projek ECRL yang diadakan di Kotasas, Kuantan, Pahang pada 9 Ogos 2017.

Pihak berkenaaan mempertikai kononnya majlis berkenaan memperlihatkan bahawa Malaysia telah hilang identitinya.

Selain itu, turut dinyatakan bahawa majlis tersebut menafikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Persoalannya, adakah pihak yang mempertikai itu berada di lokasi majlis pecah tanah itu diadakan?

Jika tidak, adalah tidak wajar dakwaan itu dibuat hanya menerusi gambar ataupun berita yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tidak salah untuk Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali mengkritik pelancaran majlis itu.

Tetapi janganlah sampai mengatakan bahawa identiti Malaysia hilang hanya disebabkan projek ECRL.

Adakah Syed Hassan berbuat demikian kerana tidak bersetuju dengan langkah kerajaan melaksanakan ECRL?

Sebagai rakyat, kita seharusnya melihat impak pelaksanaan projek ECRL kepada rakyat terutama di Pantai Timur.

Janganlah sampai majlis pecah tanah pun kita hendak dipersoalkan.

Kenapa kerajaan melaksanakan ECRL?

Pelaksanaan projek ECRL bernilai kira-kira RM55 bilion yang berteraskan rakyat menjadi satu lagi projek pengangkutan awam berkelas dunia dari segi keselamatan, kebolehpercayaan dan kecekapan kos sekali gus mencetus pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu negara.

ECRL adalah seperti mana projek transit aliran massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang membuatkan rakyat percaya kerajaan mampu untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam bertaraf dunia kepada rakyat.

Tetapi kenapa masih ada pihak yang cuba menggagalkan pelaksanaannya walaupun jelas ia bermanfaat besar kepada rakyat dan negara?

Menggunakan slogan ‘Me­nyatu Kehidupan, Memacu Pertumbuhan’, pembinaan ECRL menghubungkan Lembah Klang dengan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan selari dengan inisiatif kerajaan menaik taraf pe­ngangkutan awam di luar bandar.

Adakah projek ini tidak mendapat sokongan rakyat?

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu mendapat sokongan 95 peratus daripada 17,000 responden ha­sil kaji selidik yang dijalankan selama tiga bulan.

Adakah kontraktor tempatan tidak diberikan peluang dari projek ECRL?

Kepentingan rak­yat diutamakan termasuk menerusi perjanjian dengan China bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus kontraktor Malaysia terlibat.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan pelatih menerusi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) untuk bekerja de­ngan ECRL.

Ternyata projek ECRL membawa kesan ekonomi dan impak sosial positif bagi negeri-negeri di Pantai Timur sekali gus menjadi pemangkin kesaksamaan ekonomi dengan Pantai Barat.

Ini kerana ia merangsang pe­laburan, aktiviti komersial, me­wujudkan peluang pekerjaan, memudahkan pendidikan berkualiti dan meningkatkan pelancongan.

ECRL bakal menjadi pengangkutan yang selesa, dengan perjalanan dari terminal pengangkutan bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang empat jam berbanding purata tujuh jam kini.

Jajaran ECRL turut menggalakkan pemba­ngunan kawasan perindustrian dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) terutama di bandar-bandar yang menjadi stesen perhentian.

ECRL menghubungkan Wi­la­yah Ekonomi Pantai Timur (ECER) seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Halal Gambang di Pahang, Taman Biopolimer Kerteh (Terengganu) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali di Kelantan.

Dianggarkan 5.4 juta penumpang dan 53 juta tan kargo akan menggunakannya setiap tahun menjelang 2030.

Adakah ECRL tidak akan memberikan manfaat kepada rakyat dan negara?

Benarkah Malaysia tunduk kepada China bagi melaksanakan projek tersebut?

Mana-mana negara sekalipun pasti tidak akan menggadaikan maruah dan masa depan negara sendiri hanya untuk melaksanakan sesuatu projek.

Ini bukan kali pertama Malaysia bekerjasama dengan negara China.

Identiti Malaysia tidak akan hilang dengan adanya ECRL melainkan orang kita sendiri yang tidak menanam sifat cintakan negara dan hanya tahu menjadi pengkritik di belakang papan kekunci menyebarkan berita yang salah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here