Anwar

Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan menjadi perdana menteri tetapi menegaskan beliau tidak menyesal apabila memecat bekas timbalan perdana menteri itu pada tahun 1998.

Mahathir dalam wawancara dengan The Guardian berkata beliau tidak membantah Anwar menjadi perdana menteri, menyebabkan akhbar itu melaporkan beliau mengakui kecewa kerana tidak membenarkan bekas timbalannya itu menggantikannya.

Bagaimanapun, Mahathir hari ini menafikannya.

“Banyak orang memetik kata-kata saya atau bercakap tentang saya yang tidak betul,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur.

Ditanya lebih lanjut sama ada beliau menyesal kerana tidak membenarkan Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri, Mahathir berkata beliau tidak bercakap apa-apa mengenainya.

“Apa yang sudah, sudah. Apa yang kita mahu sekarang adalah Najib mesti buang, itu sahaja. Itu semua kita setuju. Kalau kita bercakap tentang masa lalu dah tentu kita akan menghadapi banyak masalah,” katanya.

Mahathir dipetik The Guardian sebagai berkata beliau tidak menolak kemungkinan Anwar sebagai perdana menteri jika boleh mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Mahathir bagaimanapun menegaskan bahawa ini hanya mungkin berlaku jika pembangkang memenangi pilihan raya dan perdana menteri yang baru perlu berusaha untuk membebaskan Anwar daripada penjara.

“Jika pembangkang menang, perdana menteri baru yang ketujuh akan berusaha membebaskannya. Sehingga itu, dia tidak boleh menjadi PM,” kata Mahathir.

Mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Said Othman (gambar), yang menyatakan beliau melakukan ‘U-turn’, Mahathir menafikannya.

“Bukan saya yang U-turn. Najib yang U-turn. Daripada parti yang baik yang boleh perintah negara dengan baik, dia jadi parti yang terkotor sekali dalam dunia.

“Satu daripada 10 negara paling korup dalam dunia. Itulah mereka yang melakukan U-turn. Kalau mereka ikut jalan yang sama yang saya ambil sebelum ini, tidak ada U-turn. Itu jalan yang lurus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here