Penyanyi popular, Anuar Zain yang terpaksa membatalkan Konsert Anuar Zain & You – By The Lake yang sepatutnya berlangsung di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur pada 21 Januari lalu selepas kehilangan suara mengakui fobia akibat kejadian itu.

Masalah kehilangan suara itu berlaku akibat ‘laringitis’ yang membuatkan dia terpaksa berehat hampir sebulan.

Anuar berkata, dia mempunyai banyak perancangan untuk aktiviti seninya tahun ini tetapi terpaksa ditunda kerana masih fobia dengan kejadian kehilangan suara pada saat akhir itu.

Malah, dalam tempoh itu Anuar terpaksa menunda tiga konsertnya.

“Pembatalan konsert yang amat ditunggu itu bukanlah satu keputusan mudah kerana membabitkan banyak pihak.

“Apabila seseorang penyanyi itu perlu membatalkan sesuatu konsert, ia keputusan yang amat berat dan besar,” katanya.

Anuar berkata, dia kini bersyukur kerana sudah pulih kira-kira 80 peratus dan sudah boleh membuat persembahan.

“Walaupun belum sembuh sepenuhnya, saya bersyukur kerana sudah boleh membuat persembahan,” katanya.

Baru-baru ini, penyanyi berusia 47 tahun ini tampil membuat persembahan sempena Anuar Zain Album Tour 2017 di pasar raya Mydin, Pulau Sebang, Melaka.

Anuar yang mendendangkan empat lagu popularnya menghiburkan lebih 2,000 peminat yang hadir.

Selepas Melaka, Anuar bakal mengadakan lima lagi sesi bertemu peminat di pasar raya Mydin di Parit Buntar, Perak, Senawang, Negeri Sembilan dan tiga di Sarawak iaitu City One, Vista Tunku serta Samariang.

“Buat masa ini, biar saya tenang dan ambil angin dulu. Saya akan habiskan tour (Anuar Zain Album Tour 2017) ini dulu,” katanya.

Baca lagi: Penyeri Perjalanan Karier Anuar Zain

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here