ESOK adalah harinya di mana satu himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” akan dianjurkan Pakatan Harapan (PH) dengan sasaran penyertaan sekitar puluhan ribu orang. Lebih tepat, penganjur sebenarnya mensasarkan tidak kurang 50,000 orang. Himpunan berkenaan dikatakan akan tetap berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya biarpun polis telah pun mencadangkan agar pihak penganjur memindahkan lokasi himpunan ke Stadium Kelana Jaya berikutan kebimbangan mengenai ketenteraman awam dan kesesakan trafik yang bakal timbul.

Samada penganjur berjaya mendapatkan permit polis bagi meneruskan himpunan di Padang Timur esok tidaklah sama penting dengan keperluan rakyat untuk menilai apakah makna di sebalik penganjuran himpunan seumpama ini.

Promosi Yang Hambar

Himpunan esok bakal menjadi himpunan yang pertama seumpamanya buat PH sejak pendaftaran pakatan itu dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada akhir Julai yang lalu. Walau bagaimanapun, promosi himpunan ini dilihat begitu ‘suram’ dengan rata-rata rakyat tidak pun mempunyai maklumat yang luas mengenainya. Ianya tidaklah dilihat ‘segah’ dan ‘sehebat’ promosi beberapa himpunan gabungan pembangkang sebelum ini seperti yang pernah dianjurkan BERSIH.

Entah ya entahkan tidak penganjur dapat menghimpunkan 50,000 orang pada himpunan esok tidaklah kita tahu. Pengerusi PH, Tun Mahathir Mohamad nampaknya agak optimis sasaran itu akan dicapai. Apa pun, dengan hanya mensasarkan 50,000 penyertaan orang ramai, gabungan blok pembangkang itu nampaknya mungkin sedar bahawa mereka semakin kehilangan rentak dalam meraih sokongan rakyat.

Mengapa Padang Timur?

Pemilihan lokasi himpunan juga agak aneh. Walaupun lokasi tersebut sememangnya berdekatan dengan sistem pengangkutan awam yang lain, hakikatnya Padang Timur dikatakan hanya boleh memuatkan kira-kira 10,000 orang. Kalaulah benar sasaran 50,000 penyertaan itu ingin dicapai, mengapa perlu himpunan dibuat di Padang Timur? Bukankah lebih baik jika dibuat di stadium seperti yang telah dicadangkan pihak polis?

Dari satu segi, ia menampakkan betapa gabungan PH sendiri tidak yakin mengenai jumlah kehadiran pada himpunan esok. Secara psikologinya, mengadakan himpunan di Padang Timur yang terhad keluasannya akan membuatkan himpunan tersebut dilihat ‘sesak’ dan sambutannya juga tampak ‘hebat’ biarpun pada hakikatnya jumlah orang ramai yang hadir mungkin hanya separuh daripada jumlah yang disasarkan.

Suka atau tidak, PH dan rakyat sendiri perlu mengakui bahawa promosi mengenai himpunan anti-kleptokrasi esok sangat hambar dan sambutannya juga sangat mendukacitakan jika dibandingkan dengan himpunan-himpunan anjuran BERSIH sebelum ini. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan ramai rakyat yang melihat himpunan esok sebagai aktiviti membuang masa. Malah PH sendiri dilihat kekeringan idea mengenai apakah bentuk impak yang mampu dijelmakan kepada mereka hasil daripada himpunan itu esok.

Kegagalan Memahami Sentimen Rakyat

Melihat kepada namanya sahaja, kebanyakan rakyat sudah pun dapat meneka bahawa himpunan esok hanyalah semata-mata mengenai usaha menjatuhkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak. Lebih tepat, himpunan esok adalah mengenai 1MDB. Meihat kembali kepada siri himpunan yang dianjurkan pembangkang, kita akan mendapati bahawa rata-rata peserta yang hadir adalah golongan belia. Sewajarnya, golongan ini jugalah yang menjadi kumpulan sasaran utama PH menjelang himpunan esok.

Namun, dengan membawa isu 1MDB, pembangkang nampaknya gagal memahami sentimen kebanyakan golongan itu pada hari ini. Benar, isu 1MDB pernah hangat didebatkan masyarakat di pelbagai peringkat. Tetapi bagi golongan dan pengundi muda, isu tersebut sama sekali tidak pernah menjadi keutamaan buat mereka. Apa yang penting bagi mereka adalah isu-isu yang berlegar sekitar kos sara hidup, pemilikan aset dan hartanah selain peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih cerah. Dengan hanya mengenengahkan kleptokrasi, pembangkang tampak sangat tumpul dalam usaha mereka mencari isu untuk menggoyangkan pemerintahan sedia ada.

Pakatan Yang Terdesak

Keterdesakan ini tidaklah sukar untuk difahami. Dalam keadaan negara semakin menghampiri ‘tarikh akhir’ pembubaran Parlimen, pembangkang nampaknya begitu bersungguh mengeksploitasi apa sahaja isu berbangkit sebagai satu cubaan untuk mendapatkan kembali momentum dan ‘sengat’ mereka yang semakin hilang. Keterdesakan ini akhirnya menjelmakan idea untuk menganjurkan himpunan anti-kleptokrasi, satu istilah yang barangkali kebanyakan rakyat perlu merujuk kamus atau bertanya kepada ‘Encik Google’ untuk memahaminya.

PH sendiri tentu memahami situasi ini. Tetapi apalah yang mereka peduli asalkan matlamat mengheret dan menghimpunkan seberapa ramai orang menjelang himpunan esok tetap tercapai. Menggunakan slogan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi”, himpunan esok tampak jelas satu momokan pembangkang bagi menghimpunkan seramai mungkin rakyat dan kesempatan itu tentu sahaja akan digunakan Tun Mahathir dan rakan-rakan pembangkangnya untuk terus melontarkan dakwaan-dakwaan kosong terhadap Najib dan kepimpinan negara. Melihat kepada iklim politik semasa negara, ianya tidak lebih daripada sekadar usaha pembangkang untuk meraih semula momentum mereka yang kian hilang.

1 COMMENT

  1. Tulisan tanpa membuat kajian yang teliti dan ikhlas. Pada 25 Mei 2013 lalu Perhimpunan Suara Rakyat 505 anjuran 54 gabungan NGO bagi membantah penipuan dilakukan oleh Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya umum lalu telah diadakan padang Timur Petaling Jaya telah berjaya menarik kehadiran lebih 120,000 rakyat.
    Penulis hanya telan bulat2 apa yg KPN kata yg kononnya hanya mampu muat utk 10 ribu sahaja. Penulis pula terbukti naif bila mengatakan himpunan anti kleptokrasi ini sekadar mahu menghimpunkan 50,000 orang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here