Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan andaian  10 hingga 15 peratus undi Melayu akan beralih kepada pembangkang pada pilihan raya umum PRU14 sebagai jauh tersasar daripada fakta sebenar.

Merujuk kepada analisis yang dibuat oleh Anggota Parlimen Serdang Ong Kian Ming daripada Dap, Salleh berkata  analisis perubahan undi Melayu yang lebih tepat perlu didasari senario PRU dari 1988 hingga 1990 kerana sejarah perpecahan politik Melayu bermula pada waktu itu.

“Pada tahun 1988, UMNO berpecah setelah Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan Presiden UMNO.  Selepas pemilihan itu, kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti Semangat 46 (S46).

“Dalam PRU 1990, S46 bergabung dengan PAS, HAMIM, DAP dan PBS, namun adakah pakatan pembangkang memenangi pilihan raya tersebut? Jawapannya tidak,” katanya dalam catatan blognya, hari ini.

Salleh berkata kemerosotan undi Melayu hanya 2.4 peratus berbanding PRU 1986 dengan S46 memenangi hanya lapan daripada 61 kerusi parlimen yang ditandingi dan 19 kerusi dewan undangan negeri daripada 152 kerusi yang ditandingi.

“Hujah beliau (Kian Ming) mudah: setiap kali parti UMNO berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN.  Ini dapat dilihat dalam PRU 1999 apabila peralihan undi Melayu berlaku sebanyak 27 peratus.  Dalam PRU 2008 pula, BN (Barisan Nasional) hilang majoriti dua pertiga apabila enam peratus lagi pengundi Melayu beralih menyokong pembangkang.

“Pertanyaannya, bolehkah dicapai 15 peratus peralihan sokongan Melayu ini?  Kian Ming kata tidak mustahil jika melihat kepada sikap pengundi Melayu dalam PRU 1999 dan 2008, dan juga jika melihat kepada munculnya PPBM ( Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” kata Salleh.

Bagaimanapun kata Salleh, berdasarkan realiti sekarang sukar untuk peralihan undi Melayu itu berulang.

“Dalam PRU 1999, senario berlakunya peralihan undi Melayu ketika itu adalah berbeza dengan situasi sekarang.  Pada tahun 1999, negara baru diserang krisis kewangan dan ada isu mata lebam. (Bagi) PRU-14, isu tahun 1999 dan 2008 sudah jauh kita tinggalkan,” katanya.

Berdasarkan analisis yang dilakukannya, Salleh menggariskan lima faktor anak muda akan menyokong BN pada PRU-14.

“Dalam analisis ini, jika mahu bersandarkan kepada hujah ‘UMNO berpecah maka Melayu akan mengalih sokongan kepada pembangkang’, itu adalah generalisasi,” tegasnya.

Katanya pilihan raya kecil di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak telah membuktikan walaupun UMNO berpecah, parti pembangkang masih tidak mampu menumbangkan BN.

Katanya  pembangkang kini mempunyai pecahan parti Melayunya sendiri seperti Parti Amanah Negara (Amanah) yang lahir hasil perpecahan dalam  PAS.

Selain itu PPBM dan Amanah juga adalah parti baharu yang masih tidak mendapat sokongan meluas, katanya.

“Politiking pembangkang yang terlalu banyak juga menyebabkan rakyat bosan kerana rakyat mahu terus bergerak ke depan membangun Malaysia yang maju dan sejahtera,” kata Salleh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here