TEKAD Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menjadi blok politik ketiga di Pulau Pinang menjelang pilihan raya umum (PRU) kelak seharusnya mengejutkan DAP daripada lena yang panjang. Azam parti yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) untuk memanjat tangga kekuasaan di negeri di sebelah utara tanahair itu bukan main-main kerana mereka tampak serius untuk menjadi alternatif kepada pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang ada kini dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Baru-baru ini, PRM membuka mata ramai pihak mengenai keinginan mereka untuk bertanding di 30 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan di kesemua 13 kerusi Parlimen di negeri itu. Menariknya, kebanyakan kerusi DUN yang ingin ditandingi PRM adalah merupakan kerusi yang kini dipegang dan dikuasai oleh DAP.

Ini mungkin antara satu langkah paling berani diambil oleh PRM sejak beberapa PRU yang lalu. Mana tidaknya, setelah beberapa lama dilihat agak ‘senyap’ dan ‘pasif’ dalam pertarungan politik negara, parti itu secara tiba-tiba mengumumkan satu langkah besar yang dijangka akan turut menyusul di beberapa negeri lain selepas ini. Dikatakan buat masa ini, PRM masih lagi dalam proses mengenal pasti calon-calon yang ingin mereka ketengahkan yang sebahagian besar daripada mereka dijangkakan akan dibarisi muka-muka baru.

Sebagai parti yang mesra pembangkang sejak beberapa PRU yang lalu, PRM sedikit-sebanyak dilihat menumpang tuah dan populariti pembangkang dalam kancah politik negara. Parti itu merupakan salah satu komponen Barisan Alternatif sekitar tahun 1998 sehinggalah 2004. Malah, PRM sendiri pernah mengisytiharkan sokongan mereka kepada pembangkang melalui kehadiran mereka di banyak majlis dan program anjuran parti-parti komponen PH mutakhir ini.

Justeru, apabila PRM secara terang-terangan menyatakan hasrat untuk bertarung menentang DAP di Pulau Pinang, ia benar-benar membuka mata PH. Biarpun PRM pernah menyatakan sokongan mereka kepada PH, parti itu walau bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang kemahuan menyertai pakatan tersebut sejak kembali ‘wujud’ pada 2005. Malah, dalam menghadapi PRU yang akan datang, PRM juga nampaknya sudah bertekad untuk bersendirian dan tidak mahu lagi bekerjasama dengan PH dalam menghadapi BN.

Apa yang jelas, hasrat PRM untuk bertanding secara ‘besar-besaran’ di Pulau Pinang memberikan satu mesej jelas bahawa kerajaan pimpinan DAP telah gagal mentadbir negeri itu dengan baik seperti yang diaspirasikan oleh penduduk. Malah, jika mengikut apa yang ditegaskan oleh PRM sebelum ini, DAP secara jelas tidak benar-benar berjuang bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di Pulau Pinang walaupun telah diberikan mandat untuk memerintah sejak 10 tahun yang lalu.

Cukuplah kita mengambil isu harga pemilikan hartanah di negeri itu yang semakin lama semakin tidak masuk akal dan membimbangkan penduduk yang rata-ratanya terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Jika kita menyentuh isu tanah runtuh dan banjir yang kerap melanda Pulau Pinang tahun lalu, analisis yang teliti akan turut melihat perkaitan kedua-dua insiden itu dengan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri dalam merangka pembangunan yang mesra alam.

Penegasan PRM dalam membangkitkan hal ini bukan sekadar dakwan dan cakap-cakap kosong. Ia sememangnya benar belaka. Sejak sebelum DAP memerintah Pulau Pinang lagi, pelbagai cerita buruk dijaja mereka bagi menggambarkan kerajaan BN pada masa itu sudah korup dan perlu ditukar. Hari ini, setelah sedekad memerintah, DAP tidak juga memperlihatkan kepada rakyat mengapa mereka perlu dikekalkan menjelang PRU14 kelak.

Lebih malang buat penduduk Pulau Pinang, amalan kronisme, rasuah dan salah guna kuasa semakin berleluasa di negeri tersebut. Penduduk Pulau Mutiara dan rakyat Malaysia amnya tidak perlu melihat seorang demi seorang pemimpin DAP Pulau Pinang untuk mengkaji hal tersebut. Cukuplah dengan hanya melihat kepada Ketua Menteri merangkap Setiausaha Agung DAP sendiri, Lim Guan Eng. Sosok itu sudah pun terpalit dengan pelbagai isu korupsi.

Tentulah yang paling diingati penduduk Pulau Pinang adalah pembelian lot tanah dan sebuah bangle di bawah harga pasaran. Selain itu, anak lelaki Penasihat DAP Lim Kit Siang itu juga sedang menghadapi pertuduhan menyalahgunakan kuasanya bagi menukar status tanah zon pertanian kepada zon perumahan, dakwaan yang dikenakan terhadapnya pada Jun 2016.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia secara keseluruhannya juga mengambil maklum mengenai kontroversi yang menyelubungi projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang. Projek tersebut yang kini masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nampaknya sudah memberikan satu lagi calitan arang kepada Guan Eng dan pentadbirannya di negeri itu tatkala penduduk Pulau Pinang sendiri menempelak pembangunan terowong tersebut yang perbelanjaannya disifatkan terlalu ‘luar biasa’ dan membazir.

Hasrat PRM untuk bertanding di kebanyakan kerusi DUN dan di kesemua kerusi Parlimen Pulau Pinang memberikan satu lagi dilema kepada PH di negeri itu. Setelah pakatan pembangkang tersebut mula pening kepala memikirkan apakah bentuk strategi yang sesuai bagi menghadapi pertembungan tiga penjuru PH-BN-PAS, mereka khususnya DAP kini benar-benar bimbang mengenai pertembungan empat penjuru di sesetengah tempat dengan kehadiran PRM.

Jika kewujudan AMANAH adalah bagi menyaingi PAS, kehadiran PRM pula secara jelas memberikan saingan terus terhadap DAP dan PKR khususnya yang mendominasi politik Pulau Pinang. PRM adalah parti yang sebelum ini pernah bergabung dengan PKR, tetapi kemudiannya ‘dihidupkan’ semula oleh ahli-ahli yang menentang penggabungan tersebut. Maka tidak hairanlah kedua-dua parti itu yang paling bimbang mengenai hasrat PRM bertanding di Pulau Pinang.

Biarpun pemerhati melihat BN akan terus berdepan kesukaran untuk merampas kembali negeri itu daripada cengkaman PH, namun kesediaan PRM untuk turut berdepan dengan DAP khususnya memberikan isyarat bahawa penduduk Pulau Pinang juga semakin muak dan ‘lelah’ dengan kerajaan negeri yang ada kini. Perasaan seumpama itu berpotensi besar untuk diterjemahkan ke dalam bentuk undi oleh penduduk yang tidak berpuas hati. Justeru, di sebalik ‘keselesaan’ DAP di Pulau Pinang, mereka mungkin akan akhirnya melihat kepada mesej yang bakal dizahirkan penduduk melalui undi kepada PRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here