Anak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Ivanka Trump dan suaminya Jared Kushner tiba di Israel lebih awal untuk acara pembukaan kedutaan baru negara itu di Baitulmaqdis.

Pasangan itu yang merupakan penasihat kanan Rumah Putih akan menghadiri acara tersebut. Presiden Trump sendiri tidak hadir.

Keputusannya untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv mencetuskan kemarahan rakyat Palestin. Rancangan pemindahan itu diawalkan supaya bertepatan dengan sambutan 70 tahun penubuhan negara Israel.

Israel menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya yang “abadi dan tunggal”, sementara Palestin mahukan Baitulmaqdis Timur yang diduduki oleh Israel sejak perang 1967 sebagai ibu negara masa depannya.

Keputusan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel membelakangkan sikap berkecuali AS selama beberapa dekad berhubung isu itu dan bercanggah dengan pendirian masyarakat antarabangsa.

Presiden Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pemindahan kedutaan AS itu patut disambut gembira. Sementara Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkannya sebagai “tamparan abad ini”.

Sebuah kedutaan kecil sementara akan dibuka di dalam bangunan konsulat AS sedia ada di Baitulmaqdis esok, sementara tapak yang lebih besar akan ditentukan kemudian apabila baki kedutaan itu berpindah dari Tel Aviv.

Presiden Trump dijangka berucap kepada hadirin esok melalui siaran video.

Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin dan Timbalan Setiausaha Negara, John Sullivan akan hadir mengiringi Ivanka dan Kushner.

Menurut laporan media tempatan, Kushner dijadual bertemu perdana menteri Israel hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here