Penganjur ‘Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi,Mat Sabu  mengakui generasi muda kurang berminat untuk menghadiri program berbentuk ceramah sehingga menyebabkan perhimpunan itu kurang mendapat sambutan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata generasi muda pada hari ini lebih berminat dengan penganjuran perhimpunan atau demonstrasi jalanan.

“Saya melihat mereka (golongan muda) lebih berminat dengan demonstrasi jalanan berbanding mendengar ceramah dan ucapan.

“Berkemungkinan kita akan anjurkan satu demonstrasi jalanan iaitu Hari Marah Rakyat, menjelang pilihan raya umum (PRU) yang belum dapat dipastikan tarikhnya,” katanya ketika ditemui BH selepas perhimpunan berakhir jam 11.15 malam tadi.

Ketika ditanya jumlah kehadiran yang tidak mencapai sasaran asal iaitu 100,000 orang kerana bertembung dengan sambutan Hari Sukan Negara, beliau bagaimanapun menafikannya.

“Malah, saya juga tidak berasakan kehadiran kurang mendapat sambutan kerana perhimpunan ini tidak mendapat kebenaran polis…ia tidak tepat,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur mendakwa jumlah kehadiran pada perhimpunan itu adalah seramai 25,000.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata jumlah kehadiran dari jam 4 petang hingga 11 malam tadi hanya sekitar 4,000 orang.

“Keadaan keselamatan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi BH.

Ditanya sama ada penganjur akan dipanggil berhubung siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak mendapat kebenaran polis, beliau berkata, perkara itu bakal diputuskan dalam masa terdekat selepas pihaknya mengumpul semua maklumat.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here