mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan rasmi awal tahun ini memaklumkan terdapat 4.1 juta golongan muda yang berusia sekitar 21 tahun dan layak untuk menunaikan tanggungjawab penting ini masih tidak mendaftar sebagai pengundi. Ini merupakan satu angka yang besar dan perlu dilihat dari pelbagai sudut mengapa anak-anak muda ini tidak berminat untuk terlibat dalam sistem demokrasi di negara ini.

Jika kita teliti secara baik media sosial pada hari ini menjadi medan penting kepada golongan muda untuk mengemukakan pandangan dan idea terhadap apa-apa isu berkaitan. Ini termasuk soal pembangunan ekonomi negara, masalah sosial dan kemelut politik. Pelbagai pandangan boleh kita baca di ruang maya ini yang kebanyakkannya digerakkan oleh anak-anak muda. Mereka jelas mempunyai kecerdikan fikir dan kemampuan menganalisis isu mengikut acuan mata sendiri. Namun segala-gala yang diluahkan mereka ini tidak diterjemahkan dalam bentuk sistem sebenar apabila kebanyakan daripada mereka yang layak masih enggan mengundi atau mendaftar sebagai pengundi.

Menyuarakan pandangan di media sosial sudah tentu merupakan satu cara terpenting untuk menyalurkan kritikan atau pandangan terhadap dasar semasa Kerajaan. Namun jika hanya mengkritik dan menjadi perwira papan kekunci, sudah tentu tiada sebarang perubahan positif boleh terlaksana. Masalah akan kekal sebagai masalah jika golongan muda tidak terlibat secara langsung dalam proses demokrasi ini.

Secara mudahnya anak-anak muda pada hari ini dilihat kecewa dengan pemimpin-pemimpin politik yang ada baik dari pihak Kerajaan mahu pun pembangkang dan mereka lebih gemar mengasingkan diri daripada mengambil tahu sebarang kejadian politik yang berlaku di dalam negara. Keadaan ini berlaku kerana mereka telah menerima gambaran mengenai perilaku tidak matang sebilangan besar ahli politik dan ini sebenarnya menyukarkan mereka untuk membuat pilihan positif untuk melibatkan diri sebagai pengundi.

Golongan muda ini sering dihidangkan dengan persepsi dan tanggapan mengenai kelakuan buruk ahli politik termasuk dari sudut penyalahgunaan kuasa, rasuah dan kemungkinan kes-kes berkaitan moral. Sehubungan itu, wujud satu bentuk pemikiran umum bahawa semua ahli politik adalah tidak berguna dan tidak membantu masyarakat, tetapi hanya untuk mengisi kantung sendiri.

Keadaan ini sebenarnya boleh diubah dalam dua cara. Pertama ahli politik sendiri perlu menyedari hakikat perjuangan sebenar dan mengetahui secara teliti bentuk pemikiran dan perasaan golongan muda. Ahli politik sewajarnya menanam contoh yang baik dalam menonjolkan budaya politik matang untuk menarik anak-anak muda terlibat dalam sistem demokrasi. Politik berbentuk kebencian dan serangan peribadi yang melampau merupakan dua perkara yang perlu dihapuskan bagi memastikan golongan muda akan tertarik dengan budaya politik di negara ini.

Selain itu, perubahan hanya akan dapat dilaksanakan dengan lancar jika anak-anak muda ini memiliki kesedaran tentang penglibatan sebagai pengundi. Kini mereka melihat satu undi tidak mampu mengubah apa-apa, tetapi mereka wajar disedarkan tentang peranan undi yang berfungsi secara kolektif dan undi sebagai penentu kepada pembentukan Malaysia yang sejahtera. Perubahan tidak dapat dilaksanakan dengan hanya mengeluh atau menulis panjang lebar di media sosial. Perubahan hanya akan dapat dilaksanakan jika anak-anak muda bersedia untuk turun beraksi di gelanggang demokrasi dan memainkan peranan aktif sebagai pengundi.

Lihat apa jadi di United Kingdom apabila golongan muda tidak mengambil serius hal berkaitan referendum Brexit, jelas sekali keadaan berkenaan telah memperjudi nasib negara berkenaan dan meletakkan kedudukan United Kingdom pada tahap tidak stabil dalam penglibatannya di peringkat Kesatuan Eropah. Jelas sekali sebenarnya kuasa orang muda terletak pada kertas undi dan tanda pangkah kerana mereka benar-benar diperlukan untuk mencorak masa depan negara.

Golongan muda wajar membersihkan pemikiran mereka daripada mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak atas sentimen-sentimen yang sempit seperti jalur perkauman atau ekstremis. Anak-anak muda wajar berfikiran rasional dan menilai sesuatu isu itu secara tuntas dan terbuka. Mereka harus turun mengundi untuk membuktikan rasa sayang terhadap negara. Patriotisme itu bukan semata-mata mengibarkan Jalur Gemilang semasa Hari Kebangsaan sahaja, patriotisme ialah mengundi dan memilih dengan akal semasa pilihan raya.

Masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan aktif untuk mempengaruhi golongan muda yang menganggap politik dan mengundi sebagai sesuatu yang tidak ‘cool’ untuk mereka percaya kepada sistem demokrasi dan melaksanakan tanggungjawab yang ada dengan sebaik-baiknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here